Tidur lena atas pangkin, taska di Itali guna teknik bunyi kicauan burung


  • Bonda
  • Isnin, 01 Dis 2025

Situasi kanak-kanak di sebuah taska di Itali yang tidur lena sambil diiringi bunyi kicauan burung. — Agensi

TULAR sebuah video memaparkan situasi beberapa kanak-kanak sedang tidur lena di sebuah taska di Itali baru-baru ini.

Lebih menarik perhatian apabila kesemua kanak-kanak tersebut tidur sambil ditemani bunyi kicauan burung-burung.

Selain iringan bunyi menenangkan, mereka juga kelihatan dibuai mimpi indah di atas pangkin terbuka di luar kawasan taska.

BACA LAGI: 'Sama macam tukar pad', pakar saran tak perlu tunggu sampai 12 jam bila guna 'menstrual cup'

BACA LAGI: 'Saya kena kuatkan diri', Rebecca 'pandang' muka 7 anak, tak nak terus bersedih

 

 

 

Meskipun tampak sedikit ganjil, amalan tersebut ternyata bukanlah perkara baharu bagi masyarakat di negara itu.

Ia bahkan antara langkah terbaik yang mampu memberikan ketenangan kepada bayi.

Ritma kicauan lembut dan tidak terlalu kuat boleh mewujudkan suasana selamat sekali gus memudahkan bayi untuk bertenang sebelum tidur.

Berbeza dengan seperti lagu berirama untuk kanak-kanak, bunyi burung membawa suasana alam yang membuatkan persekitaran lebih damai.

Selain taska, teknik bunyi kicauan burung turut digunakan di beberapa buah sekolah rendah di Liverpool, England, United Kingdom (UK).

Bunyi tersebut turut dapat membantu murid lebih fokus ketika waktu rehat.

Kajian juga menunjukkan bahawa bunyi burung mampu mengaktifkan sistem saraf parasimpatetik dalam tubuh yang membantu memperlahankan degupan jantung, melegakan ketegangan dan mewujudkan rasa tenang.

Walaupun ia tidak secara langsung merangsang otak untuk tidur, kesan itu dapat membantu kanak-kanak lebih mudah untuk berehat.

Sesetengah sekolah juga memasukkan bunyi alam lain seperti aliran air dalam rutin harian bagi mengurangkan tekanan pelajar serta mengelakkan gangguan bunyi luar.

Pakar bagaimanapun menjelaskan, bunyi tidak konsisten seperti kicauan burung atau ombak mungkin kurang sesuai untuk bayi yang baru lahir.

Sebaliknya, bunyi stabil seperti white atau pink noise (bunyi yang mempunyai frekuensi rendah) lebih berkesan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram