Darah haid 'bocor' pada fabrik putih? Ini tip mudah hilangkan kesan degil


  • Gaya
  • Selasa, 02 Dis 2025

Darah haid yang 'bocor' boleh membuatkan wanita rasa kurang yakin dengan penampilan rapi mereka. — Gambar hiasan/Janaan AI

BAGI wanita, haid adalah fasa semula jadi dalam kitaran bulanan.

Namun, apabila darah 'bocor' dan meninggalkan kesan degil pada fabrik putih, ia bukan sahaja menjejaskan kebersihan, tetapi turut memberi impak kepada penampilan dan gaya harian.

Pakaian dengan kesan kotor boleh membuatkan wanita rasa kurang yakin, terutamanya ketika berada di pejabat, menghadiri majlis sosial atau melakukan aktiviti harian.

BACA LAGI: Rai ulang tahun perkahwinan ke-52, Toh Puan Raja Noora Ashikin kenang detik pertemuan pertama bersama suami

BACA LAGI: Nama 'hilang' dari sistem bantuan, ibu tunggal di Indonesia kupas 20kg bawang sehari demi pendidikan anak

Malah, bagi mereka yang menunaikan solat, darah yang tidak dibersihkan dengan betul boleh menimbulkan rasa kurang selesa dan mengganggu kesucian pakaian.

Bagi menyelesaikan masalah darah pada fabrik putih, seorang usahawan dan pempengaruh media sosial yang aktif mengulas mengenai isu semasa, Muhammad Azmi Jamaludin berkongsi beberapa cara mudah yang boleh diamalkan untuk menghilangkan kesan darah degil pada fabrik putih.

Dengan mengikuti langkah-langkah yang didedahkan, pakaian bukan sahaja kembali bersih, tetapi wanita juga dapat mengekalkan penampilan rapi dan bergaya tanpa perlu risau tentang kotoran degil.

Berikut adalah lima langkah yang dikongsikan:

Elakkan bilas fabrik dengan air panas atau suam, sebaliknya gunakan air sejuk. — Gambar hiasan/Janaan AI

1. Bilas dengan air sejuk (WAJIB)

Langkah pertama yang paling penting ialah bilas fabrik yang terkena darah dengan air sejuk.

Elakkan penggunaan air panas atau suam kerana haba boleh memasak protein dalam darah menyebabkan kesan semakin melekat dan sukar dibersihkan.

Gunakan air sejuk sahaja dan pastikan kain dibasahi sepenuhnya.

Teknik itu adalah asas yang sering diabaikan, tetapi ia sebenarnya menentukan keberkesanan langkah-langkah seterusnya.

2. Rendam dalam campuran garam bersama serbuk penaik

Selepas dibasuh dengan air sejuk, rendam kain dalam campuran air sejuk, garam dan baking soda selama 30 hingga 60 minit.

Campuran ini berfungsi memecahkan struktur protein darah dari dalam, menjadikannya lebih mudah dibersihkan.

Teknik ini juga membantu mencegah kesan merah daripada menembusi fabrik lebih dalam, sekali gus mengurangkan risiko kotoran kekal.

3. Sapu hidrogen peroksida (3 peratus)

Hidrogen peroksida adalah cara paling berkesan untuk menyingkirkan darah degil fabrik putih.

Sapu secara perlahan-lahan pada kesan darah dan biarkan selama kira-kira lima minit.

Apabila berbuih, ia menandakan bahan aktif sedang memecahkan protein darah.

Selepas itu, bilas semula kain dengan air sejuk. Teknik ini sesuai digunakan secara berkala, terutamanya untuk fabrik yang tebal atau tuala yang menyerap banyak darah.

Sinar UV semula jadi bantu cerahkan sisa darah dan kekalkan fabrik segar.— Gambar hiasan/Janaan AI

1. Bilas dengan air sejuk (WAJIB)

4. Cuci dengan sabun dan cuka

Seterusnya, cuci kain menggunakan sabun biasa yang dicampur dengan satu sudu cuka.

Cuka bertindak seperti pemutih semula jadi dan membantu memecahkan warna merah yang tertinggal pada fabrik.

Pastikan menggunakan air sejuk dan elakkan menggosok kain dengan kuat kerana ia boleh merosakkan serat kain dan menjadikan kain kelihatan kusam.

5. Jemur di bawah sinaran matahari

Langkah terakhir ialah menjemur kain di bawah sinaran matahari.

Sinar UV semula jadi bertindak sebagai pemutih semula jadi dan membantu mencerahkan sisa-sisa merah yang masih ada.

Pastikan kain dijemur sepenuhnya supaya hasilnya lebih bersih dan fabrik kekal segar.

Selain itu, beliau turut berkongsi mengenai kesilapan yang perlu dielakkan:

  • Menggunakan air panas
  • Bleach terlalu awal
  • Menggosok kain dengan kuat
  • Biarkan lebih enam jam tanpa dicuci
  • Campur bahan peluntur pada darah basah

Tegasnya, dengan teknik yang betul, 99 peratus kesan darah boleh dihilangkan tanpa merosakkan fabrik.

Wanita tidak perlu panik atau berasa tertekan apabila menghadapi cabaran haid.

Dengan langkah mudah ini, pakaian putih boleh kekal bersih, rapi dan mengekalkan gaya serta keyakinan diri setiap hari.

Menjaga penampilan bukan sekadar soal fesyen, tetapi juga mencerminkan keprihatinan terhadap diri sendiri dan kebersihan harian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram