ADIK kepada pelakon dan usahawan, Hanis Zalikha, Hafiizhulah Ariif mencatatkan pencapaian penting apabila diterima sebagai Peguambela dan Peguamcara di Mahkamah Tinggi Malaya.
Ibunya Nani Rostam berkongsi berita gembira itu melalui hantaran media sosial Instagramnya bar-baru ini.
Beliau menyifatkan hari itu sangat bermakna bagi mereka sekeluarga.
BACA LAGI: Momen 'rare' wanita gegas ke hospital, tercekik kaki udang, tertelan straw lolipop pun ada!
BACA LAGI: Keserasian kunci kebahagiaan Bella Dally dan suami, kini lebih fokus keluarga, bisnes fesyen
"Keluarga kami, cerita kami, Masya-ALLAH Tabarak-ALLAH. Hari yang sangat bermakna. Hafiizhulah Ariif," katanya.
Hantaran tersebut turut disertakan beberapa keping foto detik keluarga mereka meraikan Hafiizhulah di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Teruja dengan pencapaian anaknya, Nani mengimbas detik Hafiizhulah Ariif ketika beliau dilahirkan awal dari tempoh sepatutnya.
Beliau berkata, pengalaman melihat anaknya di inkubator membuatkan beliau memanjatkan doa agar Hafiizhulah sentiasa dijaga ALLAH dan membesar menjadi seorang yang bijaksana, sesuai dengan maksud namanya.
"Nama yang ku beri begitu justeru lahirnya tidak cukup bulan. Di dalam inkubator ku amati wajah kecil yang fragile itu, mancung hidungnya.
"Berkata-kata dalam hati dia bakal jadi anak yang kacak. Maka terwujudlah nama Hafiizhullah Ariif. Yang sentiasa dijaga ALLAH dan bijaksana," kongsinya.
Beliau menambah, maksud nama itu juga sesuai dengan bidang kerjaya dipilih oleh Hafiizhulah dalam perundangan dan berharap suatu hari nanti anaknya dipanggil mengikut makna namanya.
"Semoga satu hari nanti dia dipanggil mengikut makna namanya, Yang Ariif. Allahuma amiin," ujarnya.
Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah dan harapan agar Hafiizhulah terus berusaha dan berjaya dalam bidang yang diceburi serta mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.
"Allahuma bariik. Tahniah Hafiiz sayang atas usaha gigih, atas penat lelah, dan atas semangat Hafiiz dalam bidang ini.
"Semoga perjalanan ini menjadi permulaan untuk terus mencapai impian dan kejayaan.
Semoga anak mama terus berusaha, berjaya di dunia dan berjaya di akhirat. Allahuma Amin," tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
