GENAP 52 tahun ikatan perkahwinan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib bersama permaisuri hati, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah pada Isnin.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Toh Puan Raja Noora Ashikin menzahirkan rasa syukur sempena ulang tahun perkahwinan mereka itu.
"Selamat ulang tahun kepada suami tercinta, dengan penuh kasih sayang daripada saya.
"Terima kasih atas segala cinta dan perhatian yang telah diberikan kepada saya dan keluarga sepanjang tahun-tahun ini," tulis beliau.
BACA LAGI: [VIDEO] 'B tu Brother la', lelaki naik angin pukul isteri lepas kantoi 'curang'
Beliau turut mengenang detik pertama pertemuan mereka yang berlaku pada tahun 1972 apabila beliau dijemput menghadiri majlis makan tengah hari bersama rakan sekerja dan tunangnya, di mana suaminya turut hadir.
Banyak pertemuan seterusnya berlaku secara kebetulan dan beliau kemudian menyedari bahawa semuanya telah dirancang oleh rakan baik suaminya.
Pasangan itu kemudian melangsungkan perkahwinan pada 1 Disember 1973.
Mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Datuk Rizal Ashram Ramli, Ramelle Ashram Ramli, Putri Yasmin Ashram Ramli dan Putri Azalia Ashram Ramli.
Mereka juga mempunyai tujuh cucu yang sering menjadi penyeri hidup pasangan berkenaan.
"Perjalanan kami dikurniakan ALLAH SWT untuk dikelilingi anak-anak, menantu dan cucu-cucu yang membawa banyak kegembiraan dalam hidup kami," tambah beliau.
Toh Puan Raja Noora Ashikin juga menyatakan, sepanjang 52 tahun perkahwinan, mereka berdua sentiasa bersyukur atas rahmat dan perlindungan ALLAH SWT serta berharap agar terus dikurniakan kekuatan iman dan lebih banyak tahun yang bahagia bersama keluarga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
