Momen 'rare' wanita gegas ke hospital, tercekik kaki udang, tertelan straw lolipop pun ada!


  • Bonda
  • Ahad, 30 Nov 2025

Insiden seperti tercekik atau tertelan benda asing menekankan bahawa perkara kecil juga boleh menimbulkan risiko serius. — Gambar hiasan/Janaan AI

KADANGKALA, bukan kemalangan besar atau penyakit serius yang membawa seseorang ke hospital.

Ada masanya, hal-hal kecil tidak dijangka seperti tertelan kaki udang dan tulang ikan atau terbau peluntur pun boleh membuatkan orang panik sehingga terpaksa berkejar ke jabatan kecemasan hospital.

Situasi itu dapat dilihat menerusi pelbagai pengalaman yang dikongsikan pengguna media sosial selepas satu hantaran di Threads bertanyakan sebab paling pelik yang pernah membuatkan mereka terpaksa ke hospital.

BACA LAGI: Keserasian kunci kebahagiaan Bella Dally dan suami, kini lebih fokus keluarga, bisnes fesyen

BACA LAGI: 'Saya kena kuatkan diri', Rebecca 'pandang' muka 7 anak, tak nak terus bersedih

Hantaran tersebut mencuri perhatian apabila seorang wanita menceritakan dirinya terpaksa mendapatkan rawatan kecemasan selepas kaki udang terdapat dalam cucur tersangkut di bahagian tekak.

"Makan cucur udang, lepas itu kaki udang sangkut di tekak. Sudah muntah, batuk kuat-kuat, makan nasi kepal pun tak hilang.

"Akhirnya doktor keluarkan ketika di wad kecemasan. Habis RM1,200 petang tu," katanya.

Perkongsian itu membuka ruang kepada komen-komen warga maya lain yang turut mendedahkan insiden kecil, tetapi serius sehingga memerlukan rawatan segera.

Seorang pengguna, @rajaelyda menceritakan dirinya dimasukkan ke wad selepas terhidu bau peluntur ketika membersihkan rumah.

"Saya guna peluntur masa masuk rumah baru. Basuh tandas dan sofa pun saya cuci. Tiba-tiba jantung laju. Akhirnya sembilan hari ditahan di wad," katanya.

Pengguna @nurzihannaz_darail pula mengimbas insiden ketika zaman kanak-kanak apabila tidak sengaja menelan straw gula-gula lolipop.

"Saya pernah tertelan lolipop semasa saya kecil. Pada ketika itu, saya sedang minum air guna batang lolipop. Tiba-tiba batang tersebut hilang daripada tangan saya. Di hospital, X-ray memang ada straw itu.

"Doktor suruh makan kucai banyak supaya cepat keluar," kongsinya.

Turut dikongsikan ialah pengalaman @fatimashahrul yang tercekik tulang ikan laksa Johor sehingga menimbulkan trauma berpanjangan.

"Saya tercekik tulang ikan selepas makan laksa Johor. Empat hari sakit. Bahagian kecemasan kerajaan tidak boleh keluarkan, jadi kena pergi klinik pakar.

"Sudah kepal nasi sampai muntah pun tidak berjaya," katanya menambah, kejadian pada 2011 itu meninggalkan trauma kepadanya.

Sementara itu, pengguna @anne.hana.ni berkongsi kejadian melibatkan anak saudaranya yang berusia empat tahun yang dimasukkan ke bilik kecemasan gara-gara pemadam tersumbat dalam hidung.

"Anak saudara kena bius sebab gelisah ketika pegawai perubatan cuba keluarkan cebisan pemadam dalam hidung," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram