TIDAK hanya pandai berniaga seperti ayahnya, puteri usahawan popular, Datuk Seri Aliff Syukri, Qadejah El Zahra turut menunjukkan bakat memasak apabila video memaparkan beliau menyediakan piza untuk adik-adiknya sebaik pulang dari sekolah menjadi tular di media sosial.
Video aksinya di dapur sering dikongsikan oleh ibunya, Datin Seri Nur Shahida di media sosial, memaparkan Qadejah yang mesra disapa 'Cess' menyediakan pelbagai jenis hidangan untuk adik-adiknya.
Dalam salah satu video terbaharu, Cess kelihatan bersemangat menyediakan piza walaupun baju dan tudungnya bertepung dek terlibat dengan tepung semasa proses memasak.
BACA LAGI: Rutin penjagaan wajah berubah seiring tingkat usia, pilih jenis produk yang betul
Menerusi hantaran itu, Shahida berkata, Cess sendiri pergi membeli bahan-bahan yang diperlukan untuk memasak selepas pulang dari sekolah.
"Katanya hari ini nak masak piza untuk adik-adiknya. Mama sendiri pun tak pandai buat piza, biasa kita tempah je.
Lebih mengagumkan, menu pizza yang disediakan Cess ternyata sedap sehingga beliau berpendapat ia lebih enak daripada pizza yang dibeli di kedai,
"Jadi ya, piza dia. Sedap pulak tu, mama dah rasa. Kalah piza dekat kedai. Ni kalau adik-adik dia puji piza dia sedap, esok dia akan datang lah dengan menu baharu," kongsi Shahida di ruangan kapsyen.
Dalam video tersebut, Cess bukan sahaja menunjukkan kemahirannya menyediakan piza, malah beliau turut menyediakan crust piza dari awal.
Beliau menambah bahan-bahan seperti yis, gula dan garam ke dalam doh sehingga mengembang dengan sempurna sebelum meletakkan sos marinara, sayur-sayuran, ayam dan keju.
Cess turut memberi panduan tentang saiz piza dan cara meletakkan bahan untuk rasa terbaik sambil menekankan kepentingan memasak dengan teliti.
"Terpulang kepada anda nak saiz piza macam mana. Saya akan letakkan sos marinara ikut kesesuaian. Saya memang suka tekstur sayur yang rangup," ujar Cess.
Cess yang kini berusia 15 tahun merupakan anak kedua daripada enam beradik dan dikenali dengan sifatnya yang tegas.
Pada usia yang masih muda, beliau sudah menunjukkan sifat berdikari dan minat dalam bidang perniagaan, sama seperti bapanya.
Walaupun usianya masih belasan tahun, Cess membuktikan kebolehan menguruskan aktiviti perniagaan dan memasak dengan baik, menampilkan kematangan serta kreativiti yang jarang dimiliki kanak-kanak sebaya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
