SEORANG suami akhirnya ‘tersedar’ selepas isteri rebah tanpa suara di depan sinki, sekali gus mengubah cara pandangnya terhadap erti rumah tangga dan tanggungjawab lelaki.
Kisah dikongsikan Khairul Razi Mohd di laman Facebook, Viral Johor itu mengundang perhatian ramai kerana terlalu dekat dengan realiti yang sering tersembunyi di balik rutin harian para isteri.
Dalam hantaran tersebut, suami berkenaan menceritakan bagaimana tubuh isterinya tiba-tiba longlai, bibir pucat dan hela nafas hampir tiada.
BACA LAGI: Mahu selamatkan perkahwinan? Bersedia untuk ‘adjust’, ‘upgrade’ dan ‘downgrade’
BACA LAGI: Rindu yang tidak pernah padam, Ibu Hanim kongsi cara bangkit selepas pemergian suami
Beliau mengangkat isterinya, namun tubuh itu terasa begitu ringan, seolah-olah segala beban kehidupan selama ini ditanggung oleh insan itu sahaja.
Di hospital, doktor memaklumkan bahawa punca collapse adalah keletihan ekstrem sehinggakan tubuh isteri tidak mampu bertahan.
"Doktor cakap dia collapse sebab penat melampau. Kurang rehat, kurang tidur, kurang makan dan stres terlampau lama.
"Aku tunduk dan tak berani pandang sesiapa sebab yang sepatutnya jaga dia ialah aku tetapi aku yang paling banyak menyusahkan dia tanpa aku sedar," katanya.
Ketika itu, lelaki berkenaan tersedar bahawa beliau membiarkan isteri memikul terlalu banyak perkara.
Beliau mengimbas kembali perilakunya sendiri sering membiarkan isteri berjaga hingga lewat malam bagi melakukan menyiapkan tugasan di rumah.
"Dia selalu lipat baju pukul 1 pagi kerana waktu siang dia urus anak, urus rumah, urus semuanya. Aku tak pernah bantu. Dia selalu kata pening tetapi aku hanya berkata, 'tidurlah nanti okay'.
"Rupanya 'nanti okay' itu tak pernah membaik. Dia cuma pendam sampai tubuh dia tak mampu bertahan lagi," katanya.
Malam di wad hospital itu menjadi titik paling meruntuhkan egonya. Di sisi isteri yang terbaring dengan bantuan oksigen beliau menangis tanpa malu.
Memohon maaf, mengaku betapa selama ini bergantung pada kekuatan isterinya tanpa menghulurkan kekuatan yang sama.
Doanya cuma satu agar ALLAH tidak mengambil wanita itu sebelum dia sempat menebus semua kelalaiannya.
Subuh yang hening akhirnya membawa kelegaan apabila isteri membuka mata dan berbisik perlahan, “Saya cuma nak abang ada.”

Suami perlu bersama-sama membantu isteri supaya beban kehidupan tidak terasa terlalu berat. — Gambar hiasan
Kata-kata itu menjadi isyarat paling besar, bahawa seorang isteri bukan mencari kesempurnaan suami, tetapi hanya mahukan keberadaan, perhatian dan bahu untuk bersandar sebelum mereka jatuh.
"Waktu itu aku terduduk, hati aku runtuh dan aku sedar ALLAH masih meminjamkan dia untuk aku. Sejak malam itu, aku belajar bahawa seorang isteri tidak pernah meminta dunia... dia hanya mahu suaminya ada, melihat penatnya, menghargai diamnya, dan memeluknya sebelum dia jatuh.
"Aku benar-benar bersyukur kerana ALLAH ‘menjatuhkan’ dia sekejap, supaya aku sempat sedar sebelum ALLAH mengambilnya selamanya," katanya.
Perkongsian itu turut mengundang reaksi warga maya agar pasangan saling membantu untuk memikul beban yang ada dalam rumah tangga.
AshimAr Abu Bakar bersyukur kerana lelaki itu diberi peluang untuk berubah.
"Alhamdulillah, ALLAH bagi peluang untuk berubah. Kita manusia yg tak sempurna. Awak, saya dan semua yang membaca coretan ini, baiki diri untuk lebih baik dari sebelum ini," katanya.
Maznah Brahim pula menyatakan rasa lega kerana suami berkenaan sempat menyedari nilai isterinya.
"ALLAH beri peluang ke dua untuk suami menghargai si isteri yang sangat lelah setiap hari," katanya.
Nor Khafadzah Rahiman berharap bahawa kesedaran itu diharapkan menjadi titik permulaan untuk lelaki tersebut menjadi suami yang lebih baik.
"Semoga menjadi suami yang prihatin, bertanggungjawab dan saling membantu isteri," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
