TINDAKAN ibu bapa membezakan layanan terhadap anak-anak berdasarkan pangkat dan pendapatan kembali menjadi bualan hangat apabila seorang wanita mendedahkan realiti 'siapa' di sisi ketika orang tua jatuh sakit dan uzur.
Hantaran yang tular di media sosial Facebook menerusi akaun Emma Wan Noordin MamaMo itu menyorot pengalaman keluarganya sendiri.
Lahir dalam keluarga bekas pegawai tinggi kerajaan, lima beradik itu meniti kerjaya berbeza. Ada hampir mencapai gred JUSA, bergelar doktor sebelum sertai politik dan ada juga hidup selesa sebagai usahawan.
BACA LAGI: Mahu selamatkan perkahwinan? Bersedia untuk ‘adjust’, ‘upgrade’ dan ‘downgrade’
BACA LAGI: Rindu yang tidak pernah padam, Ibu Hanim kongsi cara bangkit selepas pemergian suami
Namun, di sebalik kepelbagaian kerjaya itu, Emma menekankan satu hakikat jarang diakui anak paling 'sederhana' bekerja sebagai kerani adalah insan banyak berkorban untuk kedua-dua ibu bapa.
Menurut perkongsian tersebut, walaupun anak-anak berpangkat tinggi sering menjadi tumpuan dan kebanggaan keluarga, 'hero' sebenar ketika kecemasan kesihatan, ulang-alik hospital dan urusan menjaga ibu bapa sakit pada waktu malam bukanlah mereka bergelar YB, doktor atau pegawai atasan.
Sebaliknya, kata Emma, wajah yang muncul setiap kali diperlukan adalah kakaknya bergaji paling kecil.
“Pukul 3 pagi nak ke hospital, doktor panggil bincang keadaan mak… yang datang dulu tanpa berkira ialah kakak saya yang kerja kerani biasa itu,” tulisnya.

Sebahagian adik-beradik berkerjaya hebat sering menjadi tumpuan dan kebanggaan keluarga, namun keberadaan mereka ketika saat sukar tidak selalu kelihatan. — Gambar hiasan
Beliau turut mempersoalkan kecenderungan sesetengah ibu bapa memandang slip gaji dan pangkat sebagai ukuran nilai seorang anak, sedangkan kemampuan menjaga ibu bapa ketika tua tidak pernah bergantung pada kerjaya.
Lebih menyedihkan, jelasnya, ada ahli keluarga yang jarang kelihatan ketika mak ayah terlantar sakit, tetapi tiba-tiba muncul paling awal apabila membincangkan soal harta pusaka.
Hantaran Emma itu mendapat perhatian ramai kerana dianggap mencerminkan realiti dalam banyak keluarga iaitu anak yang paling sederhana sering memikul tanggungjawab besar, manakala disanjung tinggi tidak semestinya paling ke depan ketika susah.
Emma menutup hantaran dengan peringatan tegas kepada para ibu bapa.
“Anak bergaji besar belum tentu berhati besar. Anak kerja biasa belum tentu cintanya biasa. Akhirnya yang akan mandikan, usung, jaga kita di hospital bukanlah gelaran JUSA, bukan Dr., bukan YB... tetapi anak yang benar-benar sayang," katanya.
Dalam hantaran itu, Emma mengingatkan para ibu bapa bahawa sikap membeza-bezakan anak boleh meninggalkan luka bertahun sukar sembuh.
“Jadi ibu bapa biarlah adil. Sayang dan layanlah anak-anak dengan hati yang lembut, tanpa pilih bulu. Luka di hati anak kadang bertahun tak sembuh.
“Jadilah ibu yang anak-anak boleh syukuri, bukan mereka perlu maafkan,” tulisnya.

Anak yang paling sederhana sering memikul tanggungjawab paling besar. — Gambar hiasan
Di ruangan komen, ramai warga maya tampil berkongsi kisah hampir serupa yang membuktikan isu ini bukan perkara terpencil.
Jamaliah Che Din menceritakan bagaimana abangnya yang bekerja di luar negara suatu ketika dahulu menjadi tulang belakang keluarga, menjaga ibu bapa dengan penuh tanggungjawab.
“Sampai mak ayah sihat kembali… bila abang sakit, dia sembunyikan. Tahu-tahu dah meninggal,” tulisnya, menambah bahawa adik-beradik lain turut berkongsi kemampuan bila ibu bapa perlukan bantuan.
Ika Jessica pula menzahirkan harapan agar tidak mengulangi kesilapan sama apabila bergelar ibu kelak.
“Moga bila dah tua nanti kita dijauhkan dari sikap pilih kasih. Moga ALLAH tak hilangkan ingatan kita dari ikrar yang kita pernah buat," katanya.
Manakala Noranie Ramli mengingatkan bahawa ujian tidak sama untuk semua adik-beradik.
“Dalam keluarga akan ada seorang yang ALLAH uji kurang dari segi wang. Itu ujian untuk dia dan ujian untuk keluarga. Ada yang derma beratus kepada Gaza, masjid… tapi dekat adik-beradik susah, 10 sen pun tak jatuh,” katanya sambil mengulangi pesan Nabi bahawa sedekah terbaik adalah kepada ahli keluarga yang susah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
