Mahu selamatkan perkahwinan? Bersedia untuk ‘adjust’, ‘upgrade’ dan ‘downgrade’


  • Cinta
  • Rabu, 26 Nov 2025

Sesi konsultasi menjadi ruang selamat buat pasangan memahami punca konflik dan belajar berkomunikasi dengan lebih matang. —  Gambar Hiasan

KEINGINAN pasangan untuk menyelamatkan perkahwinan sering kedengaran, namun hakikatnya tidak ramai benar-benar memahami apa makna sebenar di sebalik frasa itu. 

Itulah pandangan yang dikongsikan Perunding Perhubungan dan Kekeluargaan, Sharifah Zahidah yang melihat sendiri kekeliruan ini dalam ratusan sesi konsultasi bersama pasangan bermasalah.

Menurutnya, ramai mengaku mahu mempertahankan hubungan, tetapi tindakan yang dipamerkan langsung tidak selari dengan keinginan itu, malah sering menjadi punca hubungan semakin retak.

BACA LAGI: Hiba baca nota nukilan anak bakal duduki SPM, Dr Asyraf Wajdi singgah sekolah titip kata-kata perangsang

BACA LAGI: Disangka sudah meninggal, wanita terlantar 2 tahun kejutkan semua apabila ‘bangun’ di dalam keranda

Sharifah menjelaskan bahawa tindakan merayu pasangan untuk terus kekal, lebih-lebih lagi dengan alasan fikirkan anak-anak, bukanlah cara menyelamatkan perkahwinan. 

Katanya, hubungan yang bertahan atas simpati atau paksaan hanya menunda kerosakan sehingga retakan kecil berkembang menjadi luka yang jauh lebih dalam.

Perkahwinan yang terus dipaksa bertahan inilah yang akhirnya mencetuskan permusuhan ketika bercerai iaitu keadaan yang menurutnya berpunca daripada penceraian yang tidak disegerakan pada waktunya.

Menyelamatkan perkahwinan bermula dengan keberanian melihat ke dalam diri dan mengenal pasti bahagian yang perlu diubah. —  Gambar Hiasan

Nak selamatkan? Ubah diri dahulu

Sharifah menekankan bahawa perkahwinan hanya boleh diselamatkan apabila kedua-dua pihak sanggup menyesuaikan diri, memperbaiki sikap dan menurunkan ego. 

Inilah inti pati sebenar ‘adjust, upgrade dan downgrade’ yang menjadi asas pemulihan hubungan.

Katanya, ramai pasangan lupa bahawa mereka pernah sekufu ketika berkahwin. 

Namun selepas 10, 15 atau 20 tahun, ada yang berkembang menjadi individu yang lebih matang dan terbuka, manakala pasangannya kekal pada takuk lama. 

Jurang perkembangan ini akhirnya mencipta konflik yang memenatkan.

“Rumah tangga yang tidak berkembang tetapi bertambah usia akan rasa sempit bagi individu yang mementingkan pertumbuhan diri,” tulisnya.

Perkahwinan diselamatkan dengan merawat trauma

Inilah bahagian penting yang ramai salah faham. Sharifah menegaskan bahawa seseorang perlulah merawat trauma yang ada pada diri sendiri terlebih dahulu. 

“Perkahwinan diselamatkan dengan merawat trauma masing-masing, supaya kita tidak membawa luka masa lalu ke dalam hubungan masa kini dan menjadikan pasangan sebagai sasaran kesakitan lama," katanya. 

Menurutnya, kebanyakan pertelingkahan bukan bermula daripada isu semasa, tetapi daripada luka emosi lama yang tidak pernah dirawat  lalu terluah kepada pasangan yang sebenarnya tidak bersalah.

 Seseorang perlulah merawat trauma yang ada pada diri sendiri terlebih dahulu agar hubungan dibina lebih bahagia. —  Gambar Hiasan

Bezakan ‘demand’ dan ‘needs’

Menurutnya lagi, permintaan untuk berubah bukan bermakna pasangan cerewet atau mengada-ngada. 

Ada kalanya pasangan hanya menuntut sesuatu yang sememangnya perlu untuk kelangsungan hubungan, tetapi disalah anggap sebagai beban atau permintaan yang tidak munasabah.

Di sinilah ramai tersalah tafsir antara keperluan dan tuntutan, sehingga salah faham kecil inilah yang menyemarakkan api konflik.

Letak ego di tempatnya

Dalam tulisannya, Sharifah turut menyentuh sikap-sikap yang perlu dihentikan jika benar mahu menyelamatkan hubungan iaitu kezaliman, nusyuz, keras kepala, mementingkan diri, serta tabiat mempertahankan kesilapan walaupun jelas menyakiti pasangan.

"Perubahan juga bukan sekadar baik beberapa hari kemudian kembali seperti dulu. Itu bukan perubahan, tetapi sekadar kawalan kerosakan.

“Consistency adalah bahasa sebenar bagi seseorang yang benar-benar mahu dan menghargai pasangannya," katanya. 

Empati dan komunikasi beradab antara kunci utama yang menghidupkan kembali hubungan yang semakin renggang. —  Gambar Hiasan

Komunikasi yang jujur, bukan rajuk panjang

Sharifah mengingatkan bahawa komunikasi yang matang ialah asas rumahtangga sihat bukan merajuk tanpa hala, bukan membungkam diri berminggu-minggu, bukan menjadikan keluarga tempat meluah aib atau mencipta naratif diri sebagai mangsa.

Menurutnya, perkahwinan diselamatkan dengan keberanian memecahkan dinding diam, menerima teguran tanpa defensif, serta melatih diri untuk melembutkan nada, menahan marah sebelum melukakan, mendengar sebelum menjawab dan memberi sebelum diminta.

Ia bukan formula magis, tetapi disiplin emosi yang perlu dibina perlahan-lahan.

Hubungan tanpa ALLAH sukar bertahan

Sharifah menekankan bahawa hubungan yang jauh daripada ALLAH akan dipenuhi curiga, buruk sangka dan hati yang keras. Dua hati yang dekat dengan Tuhan, katanya, akan lebih lembut, mudah berkomunikasi dan cepat mencairkan konflik kecil.

Hati yang lembut menjadikan rumah sebagai tempat pulang, bukan medan peperangan.

Tidak semua perkahwinan wajib diselamatkan

Menariknya, beliau turut mengingatkan bahawa ada perkahwinan yang memang tidak wajar diteruskan. 

Jika usaha menyelamatkan hanya menambah dosa, mengekalkan kezaliman atau memanjangkan keburukan, maka keputusan untuk berpisah adalah lebih dekat kepada reda ALLAH daripada memaksa diri bertahan.

Antara pesanannya yang paling tajam ialah bahawa cinta jarang mati begitu sahaja. 

Ia dibunuh perlahan-lahan oleh luka kecil yang tidak pernah dirawat, nada suara yang kasar, keangkuhan, serta trauma lama yang tidak diselesaikan.

Katanya lagi, perkahwinan, akan kembali pulih apabila kedua-duanya sanggup bertanya dengan jujur tentang hal ini. 

“Bahagian mana dalam diri aku yang masih menyakitkan orang yang aku sayang?," ujar Sharifah. 

Dan apabila seseorang sanggup mengubah dirinya secara konsisten, bukan sekadar berjanji, tetapi menunjukkan perubahan melalui tindakan, adab dan akhlak, di situlah peluang sebenar untuk menyelamatkan perkahwinan hadir. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram