Mengadu kerap sakit pinggang, belakang setiap kali datang bulan, doktor jelas puncanya


  • Sihat
  • Ahad, 30 Nov 2025

Sakit pinggang ketika haid bukan sekadar simptom remeh, sebaliknya berkait rapat dengan perubahan biologi yang tubuh wanita lalui setiap bulan. — Gambar Hiasan

RAMAI wanita mengadu sakit pinggang setiap kali datang bulan, namun tidak semua tahu apa sebenarnya yang berlaku dalam tubuh mereka.

Pakar Bedah Saraf, Profesor Madya Dr. Nor Faizal Ahmad Bahuri dalam laman media sosial tampil memberi penerangan ringkas mengenai punca sebenar ketidakselesaan itu.

Menurut beliau, sakit belakang atau sakit pinggang ketika haid bukan sekadar simptom remeh, sebaliknya berkait rapat dengan perubahan biologi yang tubuh wanita lalui setiap bulan.

BACA LAGI: Mahu selamatkan perkahwinan? Bersedia untuk ‘adjust’, ‘upgrade’ dan ‘downgrade’

BACA LAGI: Rindu yang tidak pernah padam, Ibu Hanim kongsi cara bangkit selepas pemergian suami

Katanya, ketika wanita mengalami haid, badan akan menghasilkan sejenis hormon yang dikenali sebagai relaxin.

Hormon itu berfungsi melonggarkan struktur tulang dan ligamen sebagai persediaan semula jadi tubuh wanita untuk kemungkinan hamil pada setiap kitaran.

“Relaxin dirembeskan supaya tulang-tulang menjadi lebih lembut dan fleksibel. Ia memudahkan tulang belakang menyesuaikan bentuk apabila wanita mengandung nanti termasuk memberi ruang kepada bayi dan membantu proses bersalin,” jelasnya.

Namun, proses melonggarkan ligamen ini juga menyebabkan sokongan pada tulang belakang menjadi sedikit kurang stabil, lalu mencetuskan rasa sengal, tegang atau sakit di bahagian pinggang.

“Bila hormon ini bekerja, ada wanita dapat sakit kepala, ada pula yang rasa pinggang tak selesa. Ini antara cabaran fisiologi yang perempuan hadapi setiap bulan,” katanya.

Perkara ini juga menerangkan kenapa sebilangan wanita merasakan perubahan postur atau keletihan lebih cepat ketika haid kerana bahagian pinggang sedang melalui fasa penyesuaian hormon yang aktif.

Penjelasan tersebut sekali gus memberi pendedahan jelas bahawa sakit pinggang ketika datang bulan adalah satu respon biologi yang normal berlaku. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram