SELEPAS satu demi satu insiden kecurangan menjadi perhatian di media sosial, muncul pula satu lagi kes yang mencetuskan kemarahan orang ramai.
Baru-baru ini, tular satu video di TikTok memaparkan kekecohan membabitkan seorang lelaki yang bertindak memukul isterinya di sebuah gerai tepi jalan.
Insiden itu dipercayai tercetus apabila si isteri datang ke lokasi kejadian untuk mendapatkan penjelasan mengenai hubungan suaminya dengan seorang wanita lain yang tidak dikenalinya.
Lelaki berkenaan bagaimanapun dilihat hilang kawalan sebelum menarik kolar baju isterinya dan cuba mengheret mangsa di hadapan orang ramai.
Seorang pemuda yang cuba membantu meleraikan keadaan turut diserang lelaki terbabit.
"Kau siapa? Kau nak tolong? Kau buat apa ni?" marah lelaki itu.
Video yang dipercayai dirakam anak saudara mangsa itu turut memaparkan pertikaman lidah antara perakam dan seorang wanita berbaju jersi hitam yang didakwa menjadi orang ketiga dalam rumah tangga pasangan tersebut.
Dalam video yang mendapat lebih 250,000 jumlah tontonan itu, wanita berkenaan cuba mempertahankan dirinya ketika ditanya mengenai panggilan mesra yang digunakan terhadap lelaki tersebut.
"Dia bukan suami saya, saya bukan isteri dia. Memang aku panggil dia 'B'. Tahu tak 'B' tu apa? Brotherlah!
"Kalau betul aku tak bersalah, aku boleh saman korang,” katanya.
Tidak lama selepas video tersebut tular, si isteri tampil mengulas situasi sebenar di ruangan komen.
Dalam penjelasannya, beliau berkata niatnya bukan untuk mencetuskan kekecohan, sebaliknya hanya ingin mengetahui identiti wanita yang didakwa mempunyai hubungan dengan suaminya.
"Untuk pengetahuan, saya yang berbaju merah jambu itu masih isteri si B.
"Saya akui tindakan saya terjah tiba-tiba, tetapi hati isteri mana yang tidak hancur bila dapat tahu suaminya bersama perempuan yang disorokkan dan tidak pernah diberitahu.
"Saya ke sana bukan untuk membuat kecoh, hanya mahukan penjelasan siapa perempuan itu," katanya manambah, beliau sanggup mengundur diri jika itu memang pilihan hati suaminya.
Ruangan komen video yang tular itu turut menyaksikan kemarahan warga maya yang rata-ratanya mengecam perbuatan mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
