'Masuk longkang kos baiki murah', Kasih 'pujuk' Azhar Sulaiman beli Kelisa terpakai nak belajar memandu


  • Bonda
  • Ahad, 30 Nov 2025

Azhar Sulaiman berkongsi permintaan anaknya menerusi akaun Facebooknya. — Instagram/@terimame

TATKALA anak orang lain sibuk mengimpikan kereta baharu serba moden, anak kepada pelakon, Azhar Sulaiman pula hanya menginginkan sebuah Perodua Kelisa terpakai.

Kasih Leia Ixora yang baru menamatkan pengajian dan sedang melalui fasa awal membina kerjaya, turut berusaha meyakinkan bapanya membelikan kereta kecil itu sebagai kenderaan pertama untuk belajar memandu.

Perkara itu dikongsikan Azhar menerusi akaun Facebooknya pada Sabtu.

BACA LAGI: Adik Hanis Zalikha diterima sebagai peguambela, peguamcara, ibu kenang detik lahir tak cukup bulan

BACA LAGI: Wanita kumpul duit sambil jaga ayah OKU rugi RM10,000, hasrat buka salun 'lebur' ditipu rakan

Lebih mencuit hati, alasannya cukup ringkas.

"Kalau terbabas masuk longkang, kos baikinya tidaklah membebankan," tulis Azhar yang berkongsi permintaan puterinya itu.

Azhar yang terkenal dengan seloroh di media sosial tidak melepaskan peluang 'menyakat' anak gadisnya tersebut.

"Pastu kena hubungi bomba and kecoh 1 Malaysia anak selebriti tersangkut dalam longkang?” guraunya bersahaja.

Dalam hantaran berkenaan, Azhar turut memuat naik gambar sebuah Perodua Kelisa yang pernah tular kerana terjatuh ke dalam longkang pada 2012.

Kini, kakak kepada pempengaruh Kasih Iris Leona itu aktif menyertai program berkaitan climate action.

Beliau banyak berkongsi di media sosial mengenai penglibatan dalam program anjuran pertubuhan tersebut, selain terlibat dalam aktiviti lapangan yang berkaitan alam sekitar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram