Wanita kumpul duit sambil jaga ayah OKU rugi RM10,000, hasrat buka salun 'lebur' ditipu rakan


  • Bonda
  • Ahad, 30 Nov 2025

Salinah mendakwa ditipu rakan sendiri yang sepatutnya menyiapkan kerja pemasangan dinding pemisah dan signboard di premisnya.

HASRAT seorang wanita untuk mengubah hidup dengan membuka kedai gunting rambut berakhir kekecewaan apabila didakwa ditipu rakan sendiri yang sepatutnya menyiapkan kerja pemasangan dinding pemisah (partition) dan papan tanda di premis miliknya.

Lebih menyedihkan, wang itu merupakan hasil titik peluh Salinah Adelinah Abdullah, selama ini mencari rezeki sambil menjaga bapa angkatnya kategori orang kelainan upaya (OKU) yang memerlukan penjagaan rapi.

“Saya simpan sikit-sikit nak senangkan ayah," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Pakai baju tahun lepas', Salinah sayu raya tanpa ibu, sanggup berhenti kerja jaga bapa angkat

BACA LAGI: Rekaan 'puzzle' cetus minat, jurutera telekomunikasi sanggup masuk lebih 80 bank buru koleksi sampul raya

Salinah berkata, semua simpanannya hasil berniaga sambal dari pagi hingga malam digunakan untuk membuka kedai tersebut sebagai usaha selepas melihat hasil pendapatan jualan sambal semakin perlahan.

Di samping membayar sewa kedai selama enam bulan, deposit dan lesen Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Salinah turut membuat bayaran penuh RM2,200 kepada rakannya untuk menyiapkan partition dan papan tanda kedai.

Namun, segala perancangan musnah. Menurut laporan polis dibuat pada 19 Julai 2025, Salinah menghubungi individu berkenaan bagi mengupah menyiapkan kerja dinding pemisah dan papan tanda kedai di Taman Bertam Impian, Melaka.

Selepas bersetuju pada harga RM2,200, Salinah melakukan bayaran penuh pada 21 Julai, melalui pindahan bank atas nama lelaki itu.

Rakannya berjanji memulakan kerja pada 29 Julai, namun tidak muncul. Katanya akan datang dua hari kemudian, tetapi tetap gagal menunjukkan diri.

Pada 1 September, Salinah cuba mesej semula, namun, lelaki itu memberi alasan tiada lori dan berjanji semua kerja siap sebelum 10 September atau wang akan dipulangkan jika dia gagal menyiapkan.

Lebih memilukan semua kos kerugian dialami akibat tidak mampu membuka kedai itu mencecah RM10,000.

“6 bulan saya bayar sewa. Semua duit simpanan meniaga sambal habis begitu saja. Kedai tak dapat buka… dia pula hilang selepas dapat bayaran," katanya.

Salinah berkata, beliau benar-benar terkilan kerana individu yang dipercayai sanggup mengkhianatinya.

“Kalau tahu macam mana susah saya kumpul duit. Saya jaga ayah OKU, cari rezeki siang malam. Duit itu untuk permulaan hidup kami… tapi dia buat saya macam ini," katanya.

Untuk rekod, bapa angkat Salinah mengalami kondisi kaki sebelah panjang dan sebelah pendek sehingga memerlukan perhatian penuh.

Tahun lalu, keadaan kesihatan lelaki itu lebih kritikal apabila hanya mampu bergantung pada susu melalui tiub untuk meneruskan hidup.

Bagaimanpun, selepas menjalani ujian menelan, beliau kembali boleh makan seperti biasa pada 25 Disember.

Salinah menjadi tulang belakang keluarga menguruskan keperluan bapanya sambil menjual sambal secara dalam talian untuk menampung kehidupan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram