Giliran cicit P. Ramlee teruskan legasi, Ghazia Gurnawan berjaya genggam diploma, bakal sambung 'degree' bidang muzik di UiTM


  • Sukses
  • Isnin, 08 Sep 2025

Ghazia (belakang, kiri) bersama ahli keluarga yang bakal meneruskan legasi P.Ramlee (gambar kiri) dalam bidang seni.

LEGASI Seniman Negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee atau nama sebenarnya, Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh kini diteruskan cicitnya, Ghazia Gurnawan yang baru sahaja menamatkan pengajian Diploma Seni Muzik di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

Ghazia yang juga cucu kepada Nasir P. Ramlee juga berjaya menggenggam diploma meskipun tidak mempunyai latar belakang dalam bidang muzik sebelum ini.

"Saya tidak mempunyai kepakaran dalam muzik, orang kata kosong latar belakang.

"Alhamdulillah saya tamat dengan jayanya," katanya dengan penuh rasa syukur.

BACA LAGI: Pemilik bisnes belanja wang SARA bantu individu memerlukan, bahagia lihat orang lain gembira

BACA LAGI: Azhar Sulaiman kesal penampilan pelanggan wanita usia 60-an, baju-T, seluar pendek tanpa pakaian dalam, tak sopan depan kanak-kanak

Ghazia menunjukkan minat mendalam terhadap seni muzik meskipun tidak mempunyai kepakaran. — Instagram/Ghazia

Mengimbas cabaran yang dilalui, Ghazia mengakui perjalanan pengajiannya bukan mudah kerana seni muzik menuntut pemahaman teknikal yang berbeza.

"Kalau di sekolah, kita biasa nampak nombor.

"Tetapi, bila dalam muzik, nombor itu jadi kuaver, krocet, minim. Sangat baharu, memang susah nak faham pada awalnya," jelasnya.

Meskipun berdepan kesukaran, Ghazia tetap menamatkan pengajian dengan keputusan cemerlang.

Malah, wanita muda itu turut bercita-cita untuk mengembangkan bakat dalam pelbagai cabang seni termasuk muzik, filem dan penulisan skrip.

"Harapan saya selepas graduasi ini ingin menempatkan diri di pentas besar atau pun bekerja dengan syarikat-syarikat media hiburan di Malaysia.

"Kalau bukan sebagai pemuzik pun, mungkin jadi pengarah atau kru," ujarnya.

Kejayaan Ghazia turut disokong oleh keluarganya yang sentiasa memberi dorongan.

Ghazia berkata, ibu dan bapanya tidak pernah menghalang apa yang dia inginkan selama ini.

"Mereka sangat terbuka. Apa yang saya buat hari ini adalah pilihan saya. Mereka bangga, malah hari ini pun mereka ada," katanya lagi.

Kini, anak seni itu dalam proses melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Muzik Perniagaan di UiTM Shah Alam selepas berjaya menempatkan diri dalam program tersebut.

"Keputusan itu telah diumumkan. Alhamdulillah saya berjaya menempatkan diri dalam sarjana muzik seni perniagaan.

"Insya-ALLAH saya akan sambung belajar selepas ini," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram