'Betul-betul dia pimpin jadi Muslimah', warga maya puji suami bimbing, tak sia-siakan isteri mualaf


  • Cinta
  • Jumaat, 28 Nov 2025

Menurut lelaki itu, beliau sendiri menguruskan semua urusan perkahwinan untuk membimbing isterinya yang baru memeluk Islam. — Threads/@melinda8479

MENIKAHI wanita yang baharu memeluk Islam atau mualaf membawa tanggungjawab besar kepada seorang suami.

Selain memimpin rumah tangga, beliau juga bertanggungjawab membimbing pasangan agar memahami dan mengamalkan ajaran Islam dengan baik.

Baru-baru ini, tular di media sosial kisah seorang suami yang membimbing isterinya yang berasal daripada keluarga Buddha.

BACA LAGI: 'Puluh kali urut dada tengok keputusan', dari darjah 1 hingga 6 kerap gagal, ibu tekad jadi 'guru', akhirnya dapat 9A

BACA LAGI: Realitinya anak 'milik' ibu bapa hingga usia 12 tahun, sedikit demi sedikit menjauh, hargai zaman mereka kecil — Kaunselor

Isterinya berkongsi hantaran di Threads sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang kelapan.

"Selamat ulang tahun kelapan. Terima kasih sentiasa menjadi yang terbaik untuk ummi dan anak-anak," tulisnya

Beliau turut memuat naik beberapa keping gambar bersama suami tercinta termasuk gambar perkahwinan mereka dalam persalinan songket rona biru muda dan merah jambu, satu kombinasi warna yang pernah menjadi hangat dalam kalangan pasangan pengantin suatu ketika dahulu.

Selain itu, dua lagi gambar adalah tangkap layar hantaran suami menerusi status di Whatsapp yang mengucapkan ulang tahun kelahirannya.

Dalam hantaran itu, suaminya menceritakan perjalanan mereka membina rumah tangga dan usahanya membimbing isterinya mengenali Islam.

"Aku ambik dia daripada seorang cina Buddha untuk kenal Islam. Aku sendiri uruskan, aku sendiri pergi masuk meminang, aku sendiri naik mahkamah, aku sendiri uruskan perkahwinan," kongsinya sambil menzahirkan penghargaan buat isterinya atas kesabaran dan komitmennya sebagai pasangan hidup yang terbaik.

Sementara itu di ruangan komen, rata-rata warga maya melahirkan rasa kagum dan terharu melihat kesungguhan suami membimbing isterinya menjadi muslimah.

Ada juga yang memuji tindakan suami itu dan mendoakan agar pasangan tersebut sentiasa bahagia.

"Bagusnya suami awak. Betul-betul dia pimpin dan bimbing awak jadi muslimah. Selamat ulang tahun perkahwinan, semoga bahagia selalu," ujar @melacolea_terpaksa.

"Alahai comelnya akak dengan suami. Semoga berkekalan ya kak," kata @oonieeee.

"Macam ni baru betul. Bawa orang lain masuk Islam dan pimpin elok-elok. Tidak disia-siakan. Tahniah awak jumpa suami yang benar untuk awak," tulis @poyok_lisa_tan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram