KISAH isteri dijangkiti HIV akibat tindakan suami, termasuk suami biseksual yang menyembunyikan status mereka, semakin menimbulkan kebimbangan masyarakat.
Kejadian ini menimbulkan kerisauan bukan sahaja dari segi kesihatan fizikal, tetapi juga impak psikologi yang serius terhadap wanita terlibat.
Pegawai Psikologi Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Rafidah Sadarudin menjelaskan bahawa golongan isteri yang tidak bersalah ini memang berisiko tinggi mengalami Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD).
BACA LAGI: Mahu selamatkan perkahwinan? Bersedia untuk ‘adjust’, ‘upgrade’ dan ‘downgrade’
BACA LAGI: Rindu yang tidak pernah padam, Ibu Hanim kongsi cara bangkit selepas pemergian suami
Menurutnya, kesan trauma mereka bukan hanya berpunca daripada diagnosis HIV semata-mata, tetapi lebih kepada rasa tertipu, dikhianati dan hilang percaya terhadap insan yang sepatutnya menjadi pelindung dalam rumah tangga.
“Ada dua isu utama di sini iaitu pertama rasa tertipu, kedua soal kepercayaan. Perasaan marah, keliru dan sedih akan mendahului segala-galanya. Suami yang sepatutnya menjadi pelindung, imam dalam rumah tangga rupanya menyembunyikan status dan perbuatan” katanya kepada Majoriti.

Rafidah Sadarudin merupakan Pegawai Psikologi Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, UPM.
Rafidah berkata, wanita yang berada dalam isu sebegini sering terperangkap dalam pemikiran yang berlebihan (overthinking) iaitu memikirkan mengapa perkara itu berlaku, bagaimana mereka boleh dijangkiti dan mengapa pasangan merahsiakan status sebenar.
“Apabila fikiran sentiasa bermain dengan andaian, kesihatan mental mula terjejas. Tekanan bertimpa-timpa ini boleh menghantui hidup mereka, seterusnya membawa kepada trauma yang mendalam,” katanya.
Mengapa ramai wanita takut dapatkan bantuan?
Bagi sesetengah wanita, ketakutan untuk mendapatkan rawatan selepas disahkan HIV berpunca daripada rasa malu, stigma masyarakat, serta ketakutan untuk berhadapan realiti.
Rafidah menekankan bahawa langkah pertama selepas diagnosis adalah mendapatkan rawatan dan maklumat yang tepat, bukan mendiamkan diri.
“Rawatan perubatan, sokongan keluarga, rakan baik, doktor dan pegawai psikologi sangat penting. Jangan dapatkan ubat sembarangan tetapi jumpalah pihak yang profesional,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa pelbagai pertubuhan dan badan sokongan HIV atau pun AIDS di Malaysia sedia membantu, selain talian krisis 15999 yang beroperasi 24 jam.
"Ada talian 15999 yang membolehkan kita mememohon pertolongan di situ, di mana talian itu buka 24 jam," katanya.
Rafidah menegaskan bahawa sokongan psikologi bukan hanya untuk wanita, tetapi untuk pasangan secara keseluruhan.

Wanita yang didiagnosis HIV perlulah mendapatkan kaunseling daripada pegawai psikologi untuk mengurus emosi, trauma, dan membina kekuatan mental.
Beliau mencadangkan berjumpa dengan:
1. Kaunseling individu bagi membantu mangsa menguruskan emosi.
2. Terapi pasangan (couple therapy) untuk membina semula komunikasi dan kepercayaan.
3. Psychoeducation iaitu pendidikan mengenai HIV, cara mengurus stres, dan cara mengenal pasti pencetus emosi.
“Kaunselor menyediakan ruang selamat untuk meluahkan perasaan dengan empati. Dari situ barulah proses pemulihan boleh bermula,” katanya.
Rafidah mengingatkan bahawa wanita yang dijangkiti akibat perbuatan pasangan tidak seharusnya berasa malu.
“Anda adalah mangsa. Anda berhak dibantu. Yang penting, dapatkan rawatan sah dari KKM dan pihak perubatan,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan tentang pentingnya pencegahan iaitu mengelakkan dadah, zina dan arak kerana ketiga-tiga faktor ini sering membuka pintu kepada situasi berisiko tinggi yang akhirnya menjejaskan kebahagiaan dalam keluarga dan rumah tangga.
“Prevention is better than cure. Jaga pasangan, jaga diri, dan ikut panduan agama. Jangan buat benda yang ALLAH larang, zina adalah perkara yang sudah disebut larangannya dalam al-Quran. Bila kita jaga apa yang ALLAH suruh, insya-ALLAH semuanya akan baik," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
