'Jual kereta demi tampung kos pendidikan kami', wanita buat kejutan beli semula Kancil milik mak ayah selepas 16 tahun


  • Bonda
  • Rabu, 26 Nov 2025

Wanita tersebut membeli semula kereta Kancil itu sebagai kejutan buat ibu bapanya. — Threads/@puanpuff

SIAPA sangka, sebuah kereta kecil yang pernah menjadi sebahagian daripada memori keluarga mampu mencetuskan kegembiraan luar biasa selepas dijual 16 tahun lepas.

Itulah yang berlaku kepada seorang wanita apabila beliau secara kebetulan menemui semula kereta Perodua Kancil milik keluarga yang dijual pada 2009 menerusi sebuah platform jual beli kereta dalam talian.

Katanya menerusi perkongsian di akaun Threadsnya, ibu bapanya menjual kereta keluaran tempatan itu demi menampung perbelanjaan pendidikan adik-beradiknya.

BACA LAGI: Impi resepsi 'vibe' kampung? Ini 5 lokasi perkahwinan ala desa, penuh nostalgia

BACA LAGI: 'Tolonglah, jangan buli staf KKM', doktor luah penat hadap waris tinggi suara, gesa aktifkan 'Code Grey'

"Rasa tergamam sekejap apabila ternampak nombor pendaftaran Kancil itu. Macam kaku nampak nampak cinta hati lama," katanya sambil menambah, beliau dan adiknya menangis kegembiraan sambil melompat-lompat selepas melihat kereta itu di Facebook Marketplace.

Beliau turut memuat naik dua keping foto kereta tersebut termasuk satu gambar lama yang memaparkan seorang budak dipercayai beliau duduk atas Kancil itu serta satu lagi gambar selepas beliau mengambil kereta tersebut sebaik membelinya.

Bercerita lanjut, kereta tersebut dibeli oleh ibu bapanya di Sabah sekitar tahun 2004 atau 2005 sebelum dipindahkan ke Kedah dan dijual pada tahun 2009 untuk menampung kos persekolahan anak-anak.

Selepas berjumpa secara rawak di platform berkenaan, wanita itu terus membeli Kancil tersebut pada petang sama tanpa pengetahuan ibu bapanya sebagai satu kejutan manis.

"Saya nak surprise mereka! Sebenarnya saya dah lama nak ada satu Kancil untuk berseronok, tapi tak sangka ini rezeki saya," ujarnya.

Menjengah ke ruangan komen, ramai warga maya tidak sabar untuk melihat reaksi ibu bapa beliau, tidak kurang juga yang turut rasa terharu dan menyifatkan ia sebagai satu kenangan berharga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram