[VIDEO] Gara-gara ikut 'trend', pengantin melecur angkara belon hidrogen meletup


  • Benua
  • Rabu, 26 Nov 2025

Belon berisi hidrogen itu difahamkan meletup selepas bom asap dipasang terlalu berhampiran.

HARI perkahwinan yang sepatutnya meninggalkan momen manis buat pasangan mempelai bertukar menjadi mimpi buruk selepas belon perhiasan meletup hingga mengakibatkan kecederaan.

Dalam satu video tular di media sosial, pasangan dari New Delhi, India berkenaan sedang mengadakan upacara 'Haldi' sempena majlis tersebut dengan berjalan di bawah pintu gerbang dihiasi belon berisi hidrogen.

Rakaman itu turut memaparkan bom asap berwarna-warni dibakar dan kedengaran orang ramai meraikan perarakan masuk pasangan berkenaan.

BACA LAGI: Impi resepsi 'vibe' kampung? Ini 5 lokasi perkahwinan ala desa, penuh nostalgia

BACA LAGI: Bukan sekadar pasangan, kakak ipar memahami antara rezeki dalam perkahwinan

Namun, secara tiba-tiba, belon meletup dan api menyambar sehingga mengenai kedua-dua pengantin, pengapit serta beberapa tetamu lain.

Insiden terbabit mengakibatkan tetamu di majlis itu panik sebaik melihat api yang menyambar pengantin dan beberapa mangsa lain.

Dalam hantaran di Instagram milik salah seorang pengantin, dia berkongsi insiden itu dengan harapan tiada lagi mangsa akan terkesan akibat kemalangan sedemikian hanya kerana mahu mengikut perkara tular di media sosial.

"Kami tidak pernah terbayang hari istimewa kami akan berubah menjadi tragedi. Pada hari yang sepatutnya kami kelihatan cantik, kami sibuk menyapu bedak untuk menyorok kecederaan dan menggunting rambut yang terbakar.

"Kami berharap pengalaman ini menjadi peringatan kepada semua untuk lebih berhati-hati dan mengutamakan keselamatan berbanding terus mengikuti trend di media sosial," tulisnya.

Laporan media India menyatakan pengantin wanita mengalami kecederaan di muka dan belakang badan sementara pasangannya melecur di jari dan badan.

Bagaimanapun, insiden itu tidak menghalang pengantin terbabit daripada meneruskan majlis selepas menerima rawatan segera daripada tetamu dan keluarga.

Kejadian itu menyebabkan pengguna media sosial mula khuatir akan penggunaan belon hidrogen dan bom asap dalam majlis perkahwinan kerana risiko insiden sedemikian agak tinggi. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram