Mira Filzah runsing masalah sinus dialami sejak sekolah rendah, ada saran tukar bantal, buat 'sinus rinse'


  • Bonda
  • Khamis, 27 Nov 2025

Mira Filzah meminta tip daripada warga maya mengenai masalah sinus yang dialami sejak sekolah rendah.

PELAKON terkenal, Mira Filzah sekali lagi mencuri perhatian ramai selepas berkongsi pengalaman berdepan masalah sinus yang dialaminya sejak sekolah rendah.

Dalam satu hantaran di Threads, Mira Filzah atau nama sebenarnya, Nur Amirah Filzah Badioezaman berkata, keadaan sinus dialami tidaklah terlalu teruk, namun satu gejala khusus tetap mengganggunya setiap hari.

Beliau menjelaskan bahagian tulang hidung dan penjuru mata akan menjadi sangat gatal setiap malam dan pagi walaupun tidak mengalami hidung berair atau bersin.

“Saya rasa gatal pada bahagian itu setiap malam dan pagi. Tapi hidung saya tak berair, tak bersin pun. Doktor kata jangan garu, tapi bila saya gosok atau garu, barulah rasa lega,” jelas selebriti berusia 32 tahun tersebut.

BACA LAGI: Hiba baca nota nukilan anak bakal duduki SPM, Dr Asyraf Wajdi singgah sekolah titip kata-kata perangsang

BACA LAGI: Disangka sudah meninggal, wanita terlantar 2 tahun kejutkan semua apabila ‘bangun’ di dalam keranda

Selain itu,  ibu kepada Wan Khair Amir itu turut bertanya sama ada wajar untuk kembali menggunakan semburan hidung (nasal spray) dan meminta cadangan krim yang boleh merawat kesan gelap pada kulit akibat terlalu kerap menggosok bahagian berkenaan.

Katanya, beliau kini menggunakan dua jenis krim, namun kedua-duanya tidak membantu mencerahkan semula kawasan kulit kusam.

Beberapa pengguna mengalami masalah sama tampil berkongsi pengalaman, selain mencadangkan rawatan yang pernah dijalankan.

Eiqakhalil dan Yatie mencadangkan Mira untuk mencuci sinus. 

“Boleh cuba cuci sinus (sinus rinse). Saya pun alami gatal di kawasan sama, kadang sampai sakit kepala. Doktor pernah sarankan saya buat cuci sinus," kata EiqaKhalil. 

Nini pula mencadangkan untuk Mira menukar bantal di bilik tidur. 

“Cuba tukar atau buang bantal yang Mira guna sekarang. Dulu saya pun gatal waktu malam dan pagi saja. Bila tukar bantal baru, terus hilang," katanya. 

Adibah Alias turut berkongsi keberkesanannya menggunakan kaedah sama.

“Saya selalu sakit di penjuru mata. Saya buat cuci sinus, lepas keluarkan semua lendir, memang lega," katanya. 

Ada juga seorang individu, Rida Bahar yang melalui rawatan lebih serius. 

“Masa sekolah dulu saya ada masalah kulit teruk di bahagian T-zone sebab eczema dan sinus. Bila buat pemeriksaan, doktor jumpa polip dan saya jalani pembedahan sinus. Lepas pembedahan, hilang terus rasa gatal dan sakit muka," katanya. 

Seorang pengguna lain, Nntk turut mencadangkan pemeriksaan lanjut dengan pakar:

“Buat cuci sinus dan boleh cuba berjumpa Pakar ENT (ear, nose and throat). Lepas pembedahan sinus keadaan saya pulih hampir 80 peratus dan penting pembedahan tidak sakit," katanya. 

Sementara itu, penyanyi dan pelakon, Nabila Razali turut mengesyorkan untuk mendapatkan rawatan di sebuah klinik. 

“Mira, cuba pergi ke klinik ENT di Jalan Pudu, Kuala Lumpur," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram