Kebakaran dahsyat pangsapuri Wang Fuk Court capai tahap 5, didiami ramai warga emas, tengah jalani projek ubah suai


  • Hias
  • Khamis, 27 Nov 2025

Pemandangan kompleks pangsapuri Wang Fuk Court sebelum (gambar kiri) dan selepas dijilat api dalam kejadian kebakaran pada 26 November 2025. — Agensi

TRAGEDI kebakaran dahsyat yang melanda kompleks kediaman pangsapuri di Daerah Tai Po, Hong Kong telah mengorbankan sekurang-kurangnya 44 orang termasuk seorang anggota bomba dengan hampir 279 individu dilaporkan masih hilang dan dikhuatiri terperangkap di dalam runtuhan.

Api marak bermula kira-kira pukul 2.51 petang itu pantas membakar beberapa blok menara kediaman setinggi 31 hingga 32 tingkat di estet perumahan Wang Fuk Court.

Asap hitam tebal berkepul-kepul dari menara berkenaan dengan api jingga menyinari langit malam menjadikannya kebakaran tahap lima paras kedua tertinggi di Hong Kong.

BACA LAGI: [VIDEO] Idea 'genius' dekorasi, praktikaliti Sophia Zhang, 5 elemen rumah nampak luas, mesra alam

BACA LAGI: Impi resepsi 'vibe' kampung? Ini 5 lokasi perkahwinan ala desa, penuh nostalgia

Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Kerajaan Hong Kong mengesahkan insiden tersebut dengan ratusan anggota bomba dan penyelamat dikerahkan ke lokasi kejadian.

Pihak berkuasa percaya api merebak dengan pantas disebabkan oleh jaringan hijau dan scaffolding buluh 'membaluti' bangunan-bangunan tersebut untuk projek pengubahsuaian yang sedang berjalan.

Usaha mencari dan menyelamat diteruskan sepanjang malam bagi menjejaki mangsa yang kebanyakannya adalah warga emas yang mendiami kompleks perumahan itu.

Salah seorang mangsa dikenali sebagai Wong, 71, dilaporkan menangis teresak-esak, bimbang isterinya terperangkap di dalam salah satu menara terbakar.

Selain Wong, salah seorang penduduk, Jason Kong, meluahkan rasa sedih kerana terpaksa melihat kediamannya hangus tanpa dapat menyelamatkan anjing peliharaannya yang dianggap seperti anak sendiri.

"Anak saya berada di rumah, jadi saya berfikir untuk kembali dan membawa anak (anjing) itu keluar dari pangsapuri," katanya, sambil menambah polis menghalangnya untuk naik ke atas pada kira-kira pukul 5 pagi.

Sementara itu, seorang mangsa terselamat, Adler Suen, menceritakan detik-detik awal ketika kejadian berlaku.

Adler yang berjaya menyelamatkan diri bersama anjing peliharaannya kira-kira pukul 3:30 pagi, mendedahkan kegagalan sistem penggera kebakaran menjadi punca ramai terperangkap.

"Alarm api tidak berbunyi dan saya hanya tahu tentang api ini kerana saya bau api itu," kata Suen.

Beliau menjelaskan bahawa bau api mula terhidu melalui tingkapnya yang terbuka sedikit.

Pendedahan lebih mengejutkan apabila ramai jiran tidak dapat berbuat demikian kerana tingkap ditutup sepenuhnya dan ditahan oleh bahan perlindungan yang digunakan untuk melindungi kaca tingkap daripada aktiviti pembinaan.

"Ramai tidak dapat melihat apa yang berlaku di luar pintu. Mereka tidak dapat membuka tingkap dan menghidu bau asap. Semuanya bergantung kepada diri sendiri pada masa itu," tegasnya.

Beliau turut berkongsi bagaimana beliau berjaya menyelamatkan diri dengan segera menuju ke tangga kecemasan.

Seramai lebih 900 penduduk telah dipindahkan ke pusat perlindungan sementara seperti di Pusat Beli-belah Kwong Fuk berhampiran.

Dalam perkembangan terkini, pihak polis menahan tiga lelaki yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan tanpa niat berhubung insiden tersebut menunjukkan siasatan menyeluruh akan dilaksanakan mengenai piawaian keselamatan pembinaan di tapak berkenaan.

Untuk info, Kkompleks pangsapuri Wang Fuk Court, dibina sekitar 1980-an merupakan sebahagian daripada landskap Daerah Tai Po yang telah lama wujud di Wilayah Baharu.

Tai Po didiami oleh kira-kira 300,000 penduduk yang mana kawasan itu dikenal pasti mempunyai peratusan pemilikan rumah yang tinggi sekitar 66.5 peratus dan majoriti penduduk berketurunan Cina 99.2 peratus.

Pangsapuri Wang Fuk Court khususnya menempatkan sekitar 4,800 penduduk dan dilaporkan merupakan rumah kepada ramai warga emas.

Harga hartanah di New Territories secara amnya lebih rendah berbanding Pulau Hong Kong atau Kowloon pada harga purata di Tai Po sekitar $10,997 (kira-kira RM5,841) setiap kaki persegi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram