MENJELANG bermulanya peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, hati seorang bapa sekali lagi diuji dengan kata-kata jujur anaknya sendiri.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu hantaran di Facebook berkongsi detik menyentuh hati apabila menerima warkah ringkas daripada anaknya, Affan yang bakal menduduki SPM pada Selasa.
Menurut Asyraf, nukilan itu ditulis Affan bagi memohon restu sebelum melangkah ke dewan peperiksaan.
“Abi, adik selalu tengok Abi bantu pelajar susah, anak yatim yang cemerlang. Adik takut dan adik malu jika adik tak dapat jadi macam mereka," katanya.
BACA LAGI: 'Jangan biasakan anak guna barang bukan milik kita', peringatan Farah Lee buat ibu bapa
Asyraf mengakui kata-kata itu membuatkannya sebak. Justeru sebelum berlepas ke Sabah minggu lalu, beliau memohon izin daripada pihak sekolah untuk bertemu anaknya secara peribadi bagi menyampaikan kata-kata semangat.
“Affan, jangan risau. Affan dah berusaha dan berikhtiar yang terbaik. Sekarang berdoa dan bertahajud. Tenangkan fikiran dan buat yang terbaik. Abi tak pernah membandingkan adik dengan sesiapa. Abi hanya mendoakan agar adik menjadi insan bermanfaat buat ummah," katanya.
Dalam hantaran itu, Asyraf turut memohon orang ramai mendoakan agar ALLAH mempermudahkan perjalanan peperiksaan Affan serta memberi kecerahan hati dan ketenangan sepanjang menjawab semua kertas.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya terpanggil untuk berkongsi doa dan perasaan yang sama sama ada sebagai ibu bapa mahupun pendidik.
“Semoga anakanda Affan diberi ketenangan dan dipermudahkan menjawab soalan SPM. Doakan juga anak saya, Luqman," kata Sarinah Abdullah.
“Anak saya pun ambil SPM esok. Semoga anak-anak yang mengambil peperiksaan tahun ini dipermudahkan urusan dan lulus cemerlang," kata Linda Bahari.
Ada juga seorang pengguna, Salmah Ahmad yang memuji cara Asyraf menangani kegusaran anak.
“Alhamdulillah, keluarga contoh. Awak memang seorang ayah yang baik dan penyayang," katanya.
Untuk rekod, Asyraf mendirikan rumah tangga bersama Prof Dr Nurdianawati Irwani pada 27 Mei 2001.
Pasangan itu dikurniakan enam cahaya mata iaitu Ammar, Affaf, Affan, Azzah, Azzam dan Attiyah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
