Bukan sekadar pelengkap gaya, beg tangan juga 'berperanan' sebagai simbol kuasa, imej pemimpin wanita dunia


  • Gaya
  • Isnin, 24 Nov 2025

Margaret Thatcher (kiri) dan Sanae Takaichi menggunakan beg tangan sebagai simbol kuasa dan imej kepimpinan mereka. — Agensi

SEJAK era Margaret Thatcher muncul di 10 Downing Street dengan beg Launer London yang ikonik, jarang ada beg tangan menjadi tumpuan dalam dunia politik.

Namun kemunculan Sanae Takaichi dengan beg hitam yang dibawanya mengembalikan semula perbualan tentang bagaimana pelengkap gaya berkenaan mampu membentuk imej dan kuasa seorang pemimpin.

Beg itu dikenali sebagai Grace Delight Tote atau lebih popular sebagai Sanae Tote, diperbuat oleh sebuah syarikat kraf kulit Jepun yang ditubuhkan pada 1880, Hamano.

BACA LAGI: Sederhana tapi bergaya, 'mix & match' rona krim, hitam jadi pilihan undangan FMA2025

BACA LAGI: Wanita Malaysia terkandas, terpaksa berjalan dalam banjir sejauh 6km untuk dapatkan bekalan makanan di Hat Yai

Beg tangan Sanae Takaichi yang mencuri tumpuan pentas politik Jepun. — Agensi

Secara asasnya, ia hanyalah beg kulit berbentuk empat segi dengan kancing perak dan tali panjang untuk disangkut pada bahu atau dibawa pada lengan.

Ia cukup besar untuk memuatkan fail A4, hadir dalam sembilan warna dan dijual pada harga kira-kira ¥136,400 (RM386).

Dari segi rupa, ia tidaklah luar biasa, tetapi apabila dibawa oleh pemimpin sebuah negara G7 (tujuh negara maju dunia), ia menjadi simbol baharu kepimpinan wanita.

Sebelum Sanae, hampir mustahil untuk melihat pemimpin wanita terkenal membawa beg mereka sendiri.

Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni, Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris, Angela Merkel, Canselor Jerman, Hillary Clinton dan Liz Truss di Britain semuanya tidak pernah membawa beg ketika menjalankan tugas rasmi.

Fenomena itu berlaku kerana lelaki berkuasa jarang membawa beg atau fail sendiri, maka wanita di posisi sama turut mengikuti norma tersebut.

Tidak membawa beg memberi gambaran bahawa seorang pemimpin mempunyai pasukan khas yang menguruskan segala dokumen dan barang keperluan mereka.

Namun, realitinya semua pemimpin wanita itu tetap mempunyai beg, cuma dibawa oleh pembantu mereka.

Beg tangan Asprey milik Margaret Thatcher dilelong pada harga tinggi, menjadi simbol kuasa dan sejarah politik beliau. — Agensi

Penata gaya Karla Welch yang pernah bekerja dengan Kamala berkata, semua pemimpin wanita memiliki tas tangan cuma ia dibawa oleh pembantu mereka.

Realiti tersebut turut disindir dalam budaya pop, misalnya dalam siri Veep di mana pembantu watak utama dikenali sebagai bag man atau body man.

Begitu juga dalam siri Succession, watak tertentu diejek kerana membawa beg yang terlalu besar, menunjukkan bahawa dalam kalangan golongan berkuasa, semakin penting seseorang, semakin kecil beg yang dibawa.

Sanae sebaliknya memecahkan tradisi itu. Begnya yang besar tetapi kemas menampilkan imej beliau sebagai pemimpin profesional yang bekerja tanpa henti.

Menurut pengarah fesyen Vogue Japan, Emi Kameoka, beg itu mampu memuatkan fail dan tablet menyampaikan mesej tentang kepraktisan dan keanggunan secara serentak.

Hamano memasarkan beg itu sebagai jawapan kepada keperluan wanita berkerjaya.

Tambahan pula, jenama itu mempunyai sejarah panjang, pernah menjadi pembekal keluarga diraja Jepun dan pilihan Sanae membawa Hamano kepada perhatian generasi muda, sekali gus memberi nilai simbolik kebanggaan nasional.

Fenomena beg tangan itu mengingatkan ramai kepada Margaret Thatcher.

Bagi Margaret, beg tangan bukan sekadar aksesori, tetapi simbol disiplin, ketegasan dan imej wanita tersusun yang tersohor di pentas antarabangsa.

Ahli Parlimen dan menteri kesihatan di era Margaret, Edwina Currie menggelarkan beg itu sebagai 'senjata' Perdana Menteri.

Jacinda Ardern (kiri) dan Theresa May masing-masing menggunakan beg tangan untuk menegaskan imej kepimpinan dan profesionalisme mereka. — Agensi

Margaret sendiri merujuk beg tangan sebagai tempat paling selamat untuk menyimpan dokumen penting.

Malah, sebuah beg Asprey yang dibawanya pernah dilelong pada harga US$39,800 (RM165,400) kerana nilai sejarah dan simboliknya.

Sama ada beg Sanae akan mempunyai pengaruh dan daya sejarah seperti Margaret, masih belum dapat dipastikan.

Namun, ia sudah mencetuskan fenomena baharu di Jepun dengan permintaan yang tinggi sehingga pengeluaran Hamano untuk tempahan semasa dilaporkan penuh untuk sepuluh bulan.

Kameoka menekankan bahawa orang ramai kini lebih memerhati apa yang Sanae pakai berbanding lelaki pemimpin dan begnya yang besar memang sukar untuk diabaikan.

Fenomena ini bukan hanya berlaku kepada Sanae. Bekas Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern turut mencuri perhatian dengan beg kulit bersaiz sederhana yang dibawanya sebagai simbol keterbukaan dan kepimpinan rakyat biasa.

Begitu juga bekas Perdana Menteri Britain, Theresa May turut dikenali dengan pilihan beg tangan yang menjadi sebahagian daripada imej peribadinya.

Beliau sering membawa beg tangan klasik, praktikal dan warna neutral yang menekankan profesionalisme dan imej berwibawa. The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram