'Tak lambat, tak cepat, perfect', Noh Salleh sambut kelahiran cahaya mata sulung nama Tara Svara


  • Bonda
  • Rabu, 26 Nov 2025

Noh berkongsi khabar gembira itu menerusi hantaran di Instagram pada Selasa memaparkan detik kelahiran anak sulungnya bersama isterinya. — Instagram/@muhammadnohbinsalleh

PENYANYI yang juga vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh mengumumkan kelahiran cahaya mata sulungnya menerusi satu hantaran di Instagram pada Selasa.

Berita gembira itu dikongsikan bersama peminat selepas isterinya, Fatin Athirah Mustapa, selamat melahirkan seorang bayi perempuan pada 21 November lalu.

Menerusi perkongsian tersebut, pemilik nama Muhammad Noh Salleh itu meluahkan rasa syukur atas rezeki yang dinanti-nantikan itu.

BACA LAGI: Banjir di Shah Alam, ibu sewa hotel, jalan kaki demi pastikan anak tak terlewat Ujian Bertulis SPM

BACA LAGI: [VIDEO] Idea 'genius' dekorasi, praktikaliti Sophia Zhang, 5 elemen rumah nampak luas, mesra alam

Penyanyi itu turut berkongsi beberapa foto ketika kelahiran, memperlihatkan suasana penuh emosi serta keterujaan menyambut kehadiran ahli baharu dalam keluarga mereka.

Menurutnya, perjalanan untuk menimang cahaya mata bukanlah mudah kerana mereka perlu melalui pelbagai ujian sebelum dikurniakan kehadiran si kecil.

"Ia memerlukan kami mengharungi pelbagai ujian yang dahsyat untuk menyedari bahawa hanya ALLAH yang menentukan masa yang sempurna untuk sesuatu dituliskan menjadi milik kita. Tidak lambat, tidak terlalu cepat, perfect," ujar lelaki berusia 40 tahun itu.

Pelantun lagu Aku Scandal tersebut turut berkongi proses kelahiran anaknya itu berjalan dengan lancar dan menjadi salah satu detik paling berharga dalam hidupnya.

"Pada tanggal 21 November, isteri saya telah melahirkan anak kami yang pertama. Seorang anak perempuan yang sihat dan sangat cantik.

"Berkat doa restu orang tua, keluarga, sahabat dan anda semua, proses kelahiran sangat lancar dan meriah kerana ditemani pelukan, ciuman dan sorakan," ujarnya.

Menutup perkongsian itu, beliau meminta orang ramai mendoakan fasa baharu mereka sebagai ibu bapa dipermudahkan dan sentiasa dalam lindungan Tuhan.

Beliau turut memperkenalkan nama puteri kecil mereka, Tara Svara, yang kini melengkapi kehidupan pasangan berkenaan.

Kelahiran itu menerima pelbagai ucapan tahniah daripada peminat dan rakan industri yang rata-ratanya tumpang gembira atas rezeki terindah buat pasangan tersebut.

Untuk rekod, Noh sebelum ini pernah berkongsi detik duka apabila anak sulung mereka, Julian, meninggal dunia ketika masih dalam kandungan.

Beliau dan isteri mendirikan rumah tangga pada September 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram