PENYANYI terkenal, Shila Amzah menarik perhatian ramai apabila memuat naik momen manis meraikan pernikahan ibunya, Fauziah Sarman, 57, atau lebih mesra disapa Mama Zie bersama suami baharu dikenali sebagai Zainal.
Namun, lebih mencuri tumpuan bukan sekadar majlis itu, sebaliknya peranan Shila yang banyak membantu memastikan semua berjalan lancar, seolah-olah menjadi 'mak pengantin' kepada ibu beliau.
Dalam beberapa keping foto dikongsikan, Shila dilihat membantu ibunya menyarungkan kasut dan meneliti kemasan inai putih sebelum majlis bermula.
BACA LAGI: 'Alhamdullilah', Alyssa, Al bakal timang anak sulung, Maia Estianty ingin cucu panggil 'Oma Bunda'
Shila turut menulis ucapan ringkas di laman Instagram.
“Welcome to the family Tuan Brigedier Jeneral Zainal, Babah. Semoga ikatan ini hingga ke syurga," katanya.
Mama Zie tampil anggun dalam persalinan pengantin ungu lavender, manakala Shila dan suami, Ubai sedondon menggayakan tema kuning pastel.
Di Threads, Shila berkongsi pengalaman lucunya ketika membantu majlis perkahwinan ibu, termasuk menerima salam kaut daripada tetamu.
“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar semalam.
"Pertama kali jadi ‘mak pengantin’. Bila salam kaut orang beri, semua masuk handbag mak kita. Lucu juga rasanya," katanya.
Shila turut mencerita bagaimana beliau membantu persiapan termasuk baju, solekan, borang perkahwinan, dan dokumentasi nikah dikatakan paling mencabar.
Paling mencuit hati, Shila mendedahkan ibu dan suami tidak pernah menghadiri kursus kahwin sebelum ini.
“Ada yang kata kena pergi kursus, terus pening diorang," katanya.
Shila juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan, sambil menitipkan pesan bermakna.
“Perjalanan hidup kita tak sama, tetapi kita semua mahu sampai ke destinasi yang sama," katanya.
Untuk rekod, Fauziah Sarman pernah berkahwin dengan penyanyi ND Lala dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Shila, Amir Syafiq, Amir Syahir dan Nur Syuhada.
Rumah tangga itu berakhir dengan perceraian pada 2 Ogos 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
