"GELAP dunia saya apabila mendengar Timbalan Pendakwa Raya memberitahu terdapat kesan air mani di dalam dubur anak saya. Tergamak kau buat pada anak aku yang baru berusia sembilan bulan. Kau tak layak dipanggil manusia, kau memang binatang!"
Demikian luahan hati pilu seorang ibu, Adawiyah, yang terpaksa menelan kenyataan pahit berhubung tragedi ngeri yang menimpa bayi lelakinya, empat tahun lalu.
Penantian penuh seksa selama empat tahun akhirnya bernoktah apabila pelaku dijatuhi hukuman penjara dan sebatan.
BACA LAGI: Bukan sekadar pasangan, kakak ipar memahami antara rezeki dalam perkahwinan
Namun, bagi seorang ibu yang kehilangan permata hati, hukuman tersebut dirasakan tidak setimpal dengan kekejaman yang dilakukan.
Dalam satu temu bual bersama Majoriti, Adawiyah mengakui sukar untuk menerima keputusan dengan hati terbuka, memandangkan hukuman mati mandatori tidak lagi dikuatkuasakan di Malaysia.
Menurutnya, jika mengikut gerak hati yang sedang marah dan kecewa, dia mahukan hukuman 'nyawa dibayar nyawa' dikenakan terhadap pelaku.
"Kalau ikutkan hati, memang rasa marah dan tidak adil. Dia melakukan dua kesalahan jenayah berat, kemudian dia membunuh anak saya.
"Jika boleh, saya mahukan nyawa dibayar nyawa. Tetapi sekarang hukuman gantung sudah tiada. Terpaksa terima dengan apa yang adil oleh undang-undang," ujarnya dalam nada menahan sebak.
Difahamkan, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan bagi kesalahan membunuh, serta tambahan penjara 10 tahun dan satu sebatan bagi kesalahan meliwat.
Mengimbau kembali tragedi tersebut, Adawiyah menitipkan pesan kepada ibu bapa di luar sana supaya lebih berhati-hati dalam memilih pengasuh, walaupun individu tersebut kelihatan baik pada luaran.
Jelasnya, kita tidak akan pernah tahu apa yang berlaku di sebalik pintu rumah orang lain atau niat jahat yang tersembunyi di hati manusia.
"Mungkin orang luar boleh semak dahulu latar belakang pengasuh. Kita sebenarnya tidak boleh terlalu percaya. Kita tidak tahu keadaan sebenar dalam rumah dia.
"Sebab bila kita jumpa, dia nampak elok. Bercakap pun sopan. Kita tidak tahu niat jahat orang," katanya yang mengakui trauma dengan kejadian tersebut.
Adawiyah turut berkongsi betapa emosinya terganggu sehingga kini, yang mana dia sering pergi dan pulang dari kerja dengan mata yang bengkak akibat menangis mengenangkan nasib arwah anaknya.
Menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya, Adawiyah meluahkan rasa lega sedikit selepas keputusan dijatuhkan, namun menegaskan kemaafan tidak akan pernah diberikan kepada pelaku.
"Kalau tengok hukuman yang dikenakan memang tidak setimpal dengan apa yang dia buat. Tapi tak apa, aku sedikit lega.
"Aku tahu kau akan baca ini. Aku takkan maafkan. Kau ingat kau ada anak. Karma itu pasti ada," tulisnya.
Menutup hantarannya, Adawiyah menitipkan kata-kata rindu buat anaknya yang kini 'bermain' di taman syurga.
"Dunia yang kejam ini bukan tempatmu. Semoga kita berjumpa di sana," nukilnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
