
PENDAKWAH bebas terkenal, Ustazah Asni Abu Mansor berkongsi khabar gembira apabila beliau kini kembali menempuh alam perkahwinan.
Dalam perkongsian dimuat naik melalui akaun Instagram miliknya pada Jumaat, wanita berusia 49 tahun itu memperkenalkan suaminya, Mounir Abdul Kareem Kaddoura keturunan Palestin warganegara Amerika Syarikat (AS).
"Ada ketentuan yang tertulis, takdir yang telah terukir. Sakinah, mawaddah wa rahmah,” tulisnya berkongsi kegembiraan.
"Secara rasmi saya zaujah (isteri) kepada Mounir Abdul Kareem Kaddoura. Terima kasih atas doa yang baik-baik," jelas beliau dalam hantaran tersebut.
Hantaran berbentuk video pendek itu turut memaparkan beberapa fotonya bersama suami, termasuk momen mereka duduk di atas pelamin dalam persalinan sedondon rona biru firus. Bagaimanapun, tidak dinyatakan tarikh acara berkenaan.
Ibu kepada empat cahaya mata itu juga menzahirkan rasa syukur atas perkahwinan tersebut dan berharap agar ikatan rumah tangga yang dibina dipenuhi bahagia dan dirahmati ALLAH SWT.
Sekadar info, Ustazah Asni, yang berasal dari Gemas, Negeri Sembilan, terkenal sebagai pendakwah wanita yang aktif menyampaikan kuliah agama di televisyen dan platform media sosial, selain sering dijemput memberikan ceramah di seluruh negara.
Beliau terdahulu mendirikan rumah tangga bersama Mohd Nasir Rustam Al Hafiz, namun ikatan tersebut tidak berkekalan dan berakhir dengan perpisahan.
Hasil perkahwinan mereka dikurniakan empat orang anak, iaitu Yasmin Sofea, Muhammad Adam Shauqi, Mariam Hani dan Muhammad Naufal Kholili. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram