BAGI sesetengah orang, gelak tawa anak kecil adalah kebahagiaan biasa.
Namun bagi pasangan yang menunggu zuriat bertahun-tahun, pengalaman menjaga anak orang boleh menjadi penawar hati yang sunyi.
Baru-baru ini, seorang wanita berkongsi hantaran di akaun Threadsnya mengenai pengalaman beliau dan suami yang telah menunggu zuriat selama 12 tahun atau Trying To Conceive (TTC).
BACA LAGI: Disangka sudah meninggal, wanita terlantar 2 tahun kejutkan semua apabila ‘bangun’ di dalam keranda
Bagi yang kurang jelas, TTC merujuk kepada usaha pasangan untuk hamil.
Menurut wanita berkenaan, masyarakat mungkin melihat mereka seperti keluarga bahagia yang menikmati hari bersama.
Hakikatnya, anak yang mereka uruskan hanyalah anak jagaan, bukan darah daging sendiri.
"Orang mesti nampak kami macam keluarga bahagia. Ada anak yang comel, bersiar-siar pada hujung minggu.
"Hakikat yang orang tak nampak, anak ini hanya anak asuhan kami. Kami 12 tahun TTC, berdoa, meminta dan merayu, tapi jawapan-Nya hadir melalui ini," tulis wanita itu.
Dalam hantaran yang sama, beliau turut memuat naik sekeping foto yang memaparkan dirinya dan suami di sebuah stesen pengangkutan awam, sambil suaminya menggendong anak jagaan mereka.
Di ruangan komen, ramai pengguna menitipkan doa dan sokongan kepada pasangan berkenaan.
Ada juga yang berkongsi pengalaman serupa.
Seorang pengguna menceritakan bahawa beliau juga menjadi pengasuh tiga beradik yang semuanya terdiri daripada lelaki.
"Sama! Kami bawa mereka (anak-anak asuhan) ke mana sahaja macam anak sendiri.
"Ibu bapa mereka pun baik, sudi berkongsi kasih anak-anak. Apa sahaja mereka mahu, kami belikan.
"Mereka panggil kami Mak Ayah. Saya TTC hampir 10 tahun tapi tak rasa sunyi dengan kehadiran my boys ni," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
