“JANGAN biasakan guna pensel dekat restoran untuk tulis menu atau bagi anak conteng‑conteng, kecuali sudah mendapat izin.”
Itulah pesanan Farah Lee kepada ibu bapa di luar sana dalam satu hantaran di Facebook baru-baru ini.
Katanya, walaupun sekecil‑kecil dakwat, sesuatu yang bukan hak kita tetap haram digunakan, apatah lagi jika melibatkan harta orang lain.
BACA LAGI: Tingkatkan ilmu, belajar cintai diri agar rumah tangga dibina terus harmoni, bahagia — Dr. Muhaya
Farah menegaskan, ibu bapa perlu menjadi contoh kepada anak-anak agar tidak sesekali terbiasa mengambil barang yang bukan milik sendiri.
“Jangan suka ucap ‘apa la sangat’ bila hal kecil macam ini. Perkara yang bukan hak kita tetap HARAM, dan anak-anak akan meniru apa yang kita ajar,” katanya.
Pengalaman almarhum Tok Guru Nik Aziz menjadi contoh teladan.
Pengguna Facebook, Apek Cina turut berkongsi pengalaman rakan beliau yang pernah bertemu almarhum Tok Guru Nik Aziz di Pejabat Menteri Besar Kelantan sekitar 10 tahun lalu.
Semasa menandatangani dokumen peribadi, beliau hanya menggunakan pen milik sendiri, walaupun terdapat pen marker milik kerajaan yang lebih lancar.
Tok Guru menjelaskan bahawa pen milik kerajaan hanya untuk urusan rasmi, manakala urusan peribadi perlu menggunakan barangan milik sendiri.
“Pen 70 sen tu milik beliau, penanda pen tu milik kerajaan. Untuk urusan peribadi, beliau tidak guna harta kerajaan,” katanya.
Cerita ini sinonim dengan kisah sahabat Nabi, Umar ibn ʻAbd al‑Aziz.
Ketika bekerja menggunakan lampu damar untuk urusan rasmi, Umar ibn ʻAbd al‑Aziz memastikan setiap penggunaan harta kerajaan atau harta peribadi dipisahkan.
Jika urusan peribadi, beliau akan memadamkan lampu kerajaan dan menyalakan lampu peribadi beliau.
Dalam ruangan komen, Hafsakinahyahya mengingatkan bahawa ramai kadangkala melakukan dosa kecil tanpa disedari.
“Sebab tu ALLAH suruh selalu istigfar, sedekah dan buat amalan baik untuk gantikan segala kesilapan,” katanya.
Najihah Ahmad pula menekankan kepentingan menghormati hak milik orang lain, tidak kira dewasa atau kanak-kanak.
“Segala hal yang bukan milik kita atau bukan untuk kegunaan awam jangan digunakan sesuka hati. Sekecil mana pun, ia akan dipersoal di sisi ALLAH, hatta guna selipar atau pen rakan tanpa izin,” katanya.
Nabi Muhammad S.A.W bersabda melalui hadis yang diriwayatkan Amru bin Yathribi:
وَلَا يَحِلُّ لِامْرِئٍ مِنْ مَالِ أَخِيهِ إِلَّا مَا طَابَتْ بِهِ نَفْسُهُ
"Tidak halal harta seseorang saudaranya melainkan dengan keizinan daripada pemiliknya sendiri." (Hadis Riyawat Musnad Imam Ahmad, 15488) — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
