KETIKA rakan-rakan sebayanya sibuk berlari dan bermain tanpa sebarang beban, seorang murid perempuan berusia 10 tahun di Thailand terpaksa memikul tanggungjawab 'dewasa' jauh lebih awal daripada usianya.
Kanak-kanak wanita yang dikenali sebagai Green itu tular di media sosial telah menyentuh hati ribuan ramai yang kagum melihat ketabahan si kecil itu.
Lebih menyentuh hati, Green mampu menyeimbangkan tugas sebagai pelajar cemerlang dan kakak yang penyayang.
BACA LAGI: Bukan sekadar pasangan, kakak ipar memahami antara rezeki dalam perkahwinan
BACA LAGI: Hadapi tandas awam kotor dengan 6 tip penting
Menerusi satu klip video berdurasi 18 saat yang dimuat naik oleh gurunya di TikTok, Green dilihat sedang memangku adik perempuannya yang berusia satu tahun di dalam kelas.
Apa yang meruntun hati ramai, murid Sekolah Ban Klong Kaem Cham di Prachin Buri, Thailand itu dilihat menyuapkan botol susu kepada adiknya menggunakan tangan kiri, manakala tangan kanannya ligat menyalin nota pelajaran di atas meja.
Hanya wajah tenang seorang kakak sulung yang memahami kesusahan keluarga.
Menurut gurunya yang menggunakan nama akaun Yingggz, situasi itu berlaku apabila ibu Green terpaksa keluar bekerja dan menguruskan urusan penting demi menyara keluarga mereka.
Disebabkan tiada sesiapa di rumah untuk menjaga si kecil, Green membuat keputusan untuk membawa adiknya ke sekolah.
"Saya akan bawa dia bersama saya," itulah keputusan Green demi memastikan adiknya selamat dan pelajarannya tidak terabai.
Tindakan guru berkenaan yang membenarkan Green membawa adiknya ke dalam kelas turut mendapat pujian ramai.
Beliau tidak menghalang, malah memberikan sokongan moral kepada anak muridnya itu.
"Saya tidak tahu bagaimana penerimaan guru lain, tetapi saya sentiasa berpesan kepada pelajar saya supaya jangan sesekali ponteng kelas walau apa jua yang berlaku," tulis Yingggz dalam kapsyen videonya.
Guru tersebut kemudiannya meninggalkan satu pesanan yang cukup bermakna: "Apa pun yang terjadi, tolong jangan berhenti sekolah." — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
