'Ramai gagal peringkat asas', production planner kongsi 5 tip wajib tahu sebelum mula jenama fesyen baharu


  • Gaya
  • Sabtu, 22 Nov 2025

Bagi yang mempunyai impian untuk memulakan jenama fesyen sendiri, penting memahami asas agar jenama berkembang stabil. — Gambar hiasan/Janaan AI

RAMAI individu teruja dan bersemangat memulakan bisnes fesyen, tetapi sebahagian besar kadangkala ambil keputusan berhenti separuh jalan kerana tersangkut pada perkara asas yang jarang dibincangkan secara terbuka.

Daripada identiti produk yang kabur, sampel tidak menepati visi asal sehinggalah kos pengeluaran sukar dikawal, kebanyakan isu terlibat berlaku bukan kerana tiada kemahiran, tetapi kurangnya pendedahan terhadap struktur sebenar industri.

Justeru, perkongsian oleh Production Planner, Isha Suhaimi, membuka ruang untuk memahami lima asas penting yang sering dipandang remeh, namun hakikatnya menjadi penentu sesebuah jenama mampu bertahan dalam dunia fesyen ataupun sebaliknya.

BACA LAGI: 'Hari ini anak-anak kesayangan tak pedulikannya', lelaki kecil hati bapa lebihkan adik-beradik lain hingga terpaksa 'membesar' sendiri

BACA LAGI: Membesar dikelilingi hutan dan ladang, Katerina Shukshina ilhamkan fesyen alam penuh magis

1. Utamakan identiti produk sebelum rekaan

Menurut Isha, ramai pengasas terus melakar rekaan tanpa memahami identiti jenama atau produk terlebih dahulu.

Identiti merangkumi bentuk utama (signature shape), mood, fungsi dan perasaan yang ingin disampaikan melalui setiap koleksi.

Sebagai contoh, jika identiti jenama cenderung kepada potongan minimal dan kemas, tetapi pengasas menghasilkan rekaan sarat perincian, pelanggan akan keliru dengan karakter jenama.

Identiti kukuh juga membantu pelanggan mengenali produk anda walaupun tanpa logo, sekali gus menjadikan jenama lebih konsisten dan mudah diingat.

2. Tech pack bukan pilihan tapi dokumen wajib

Selain itu, Isha menegaskan bahawa tech pack bukan sekadar dokumen untuk kilang; ia adalah 'bahasa rasmi' jenama yang mengelakkan salah faham antara pengasas dan pengilang.

Tech pack ialah dokumen lengkap merangkumi semua maklumat teknikal tentang produk, termasuk carta ukuran, jenis kain dan material, jenis jahitan dan kemasan, lokasi logo atau aksesori serta nota tambahan untuk pengilang.

Dengan tech pack terperinci, setiap pihak memahami kehendak sebenar produk, mengurangkan risiko sampel yang lari jauh daripada visi jenama dan memastikan konsistensi kualiti dalam setiap peringkat pengeluaran.

Dokumen tech pack memastikan semua pihak jelas tentang spesifikasi dan arahan penghasilan produk. — Gambar hiasan/Freepik

3. Fahami formula kos secara menyeluruh

Menurut Isha, ramai pengasas baharu mengabaikan pecahan kos sebenar seperti material, workmanship, trims, pembungkusan, margin dan kadar wastage.

Jika kos tidak dikawal, proses pengeluaran boleh ‘mengawal’ jenama, menyebabkan kos melonjak tanpa disedari.

Memahami formula ini membantu pengasas menetapkan harga yang wajar, mengurus aliran tunai dan memastikan jenama berkembang secara mampan.

4. Komunikasi dengan pembekal 

Dalam pada itu, beliau menekankan, mempunyai hubungan baik dengan pembekal sahaja tidak mencukupi.

Pengasas perlu mengamalkan dokumentasi lengkap, arahan bertulis dan komunikasi yang jelas sebagai rutin kerja harian.

Kemahiran ini bukan sekadar formaliti, ia membantu mengelakkan salah faham tentang spesifikasi produk, mengurangkan risiko kelewatan pengeluaran dan menyelamatkan jenama daripada kerugian besar.

5. Mula kecil, sistem betul

Bagi Isha, pengasas tidak perlu tertekan untuk melancarkan terlalu banyak rekaan pada peringkat awal.

Fokus kepada satu hingga tiga rekaan sudah memadai jika sistem kerja tersusun dan mantap.

Bermula kecil memberi ruang untuk menguji proses operasi, mengesan kelemahan dan membetulkan kesilapan awal tanpa menanggung kerugian besar.

Dengan struktur yang kukuh, pengasas dapat mengurus stok, pengeluaran dan komunikasi dengan lebih lancar.

Apabila asas ini diperbaiki, jenama boleh berkembang secara agresif dan lebih konsisten tanpa risiko kekeliruan atau kekacauan dalam pengurusan produk. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram