COLOUR blocking sering dianggap berani dan sukar digayakan, terutama bagi mereka yang kurang yakin mencuba kombinasi warna yang kontras.
Walaupun padanan merah jambu dan hijau bukanlah sesuatu yang baharu dalam dunia fesyen, trend terkini hadir dengan identiti visual lebih kemas melalui istilah 'strawberry matcha'.
Penggemar minuman strawberry matcha pasti dapat mengenali gabungan rona hijau dan merah jambu ini dengan mudah dan trend itu kini diterjemahkan dalam dunia fesyen.
BACA LAGI: 'Anda tak pernah tua pegang tangan ibu', pempengaruh ingatkan hargai masa bersama ibu bapa
BACA LAGI: Gen Z mendefinisikan semula fesyen ‘modest’, buktikan gaya sopan pun boleh ‘stand out’

Rona hijau matcha dan merah jambu strawberi pada latte ini kini menjadi inspirasi fesyen, dekorasi dan aksesori. — Media sosial
Trend itu juga cepat mendapat tempat dalam kalangan Generasi Z (Gen Z) yang gemar bereksperimen dengan warna demi mencipta gaya harian atau Outfit of the Day (OOTD) yang segar dan unik.
Asal-usul dan identiti warna strawberry matcha
Secara asasnya, strawberry matcha merujuk kepada gabungan dua warna yang diinspirasikan daripada minuman strawberry matcha latte yang mana hijau matcha berasal daripada teh hijau Jepun dengan tona lembut dan sedikit kusam, manakala merah jambu strawberi pula mewakili warna buah strawberi.
Tona itulah yang menjadi asas trend ini. Berbeza daripada padanan hijau dan merah jambu terdahulu, trend’ strawberry matcha menggunakan hijau yang lebih moden, bukan hijau terang atau neon.
Merah jambu pula dipilih dalam tona pastel strawberi yang lembut dan manis.
Pengaruh trend dalam gaya harian
Gabungan warna terlibat mudah digayakan bersama pelbagai pakaian dan aksesori, termasuk cardigan, skirt, beg, kasut, malah solekan tona pastel strawberi hiasan kuku sepadan turut melengkapkan gaya.
Ramai juga mengambil inspirasi daripada gabungan hijau matcha dan merah jambu untuk padanan kasual mahupun formal, menjadikannya fleksibel mengikut situasi harian.
Trend tersebut mendapat sambutan hangat dalam kalangan Gen Z yang gemar mempamerkan OOTD mereka di pelbagai platform media sosial.
Foto-foto yang dikongsi bukan sahaja menonjolkan kreativiti dalam pemilihan warna, malah turut memberi inspirasi kepada pengikut mereka untuk mencuba kombinasi sama.
Strawberry matcha dalam majlis istimewa
Lebih menarik, trend ini tidak hanya popular dalam gaya harian, malah turut menawan majlis istimewa.
Lazimnya, persalinan pada hari istimewa seperti majlis merisik, tunang, nikah dan sanding dipilih mengikut satu tema warna.
Namun dengan kemunculan trend ini, ramai mula mengangkat palet hijau dan merah jambu sebagai pilihan utama.
Siapa sangka kombinasi dua warna tersebut mampu mencipta penampilan pengantin yang begitu elegan dan menawan.
Hijau matcha dipadankan dengan merah jambu menghasilkan busana yang segar, unik dan penuh gaya, sekali gus bereksperimen dengan warna dalam busana hari Bahagia.
Contohnya, si gadis tampak manis mengenakan baju kurung atau kebaya dalam rona hijau matcha dan merah jambu strawberi, dipadankan pula dengan selendang serta aksesori pastel serasi.
Selain pada persalinan, inspirasi strawberry matcha turut muncul pada aksesori dan bunga tangan, menjadikan penampilan lebih seimbang, ceria dan mudah menarik perhatian dalam setiap rakaman.
Tidak cukup pada penampilan, dekorasi majlis juga tidak ketinggalan.
Elemen seperti kad jemputan, keepsake, welcome board, susunan bunga dan hantaran semuanya mengekalkan gabungan hijau dan merah jambu.
Industri fesyen tak ketinggalan
Tidak ketinggalan, industri fesyen tempatan turut mengambil peluang daripada trend strawberry matcha.
Beberapa jenama fesyen sudah mula memperkenalkan koleksi yang diinspirasikan oleh gabungan hijau matcha dan merah jambu.
Dalam koleksi baju raya, rekaan baju kurung dan kebaya menampilkan rona tersebut dengan potongan tradisional yang disuntik elemen kontemporari.
Rekaan sedemikian sekali gus memberi peluang kepada penggemar fesyen untuk bergaya sedondon semasa perayaan dengan tema yang segar dan unik.
Bahkan, ada jenama yang sudah melancarkan koleksi Hari Raya Aidilfitri dengan tema strawberry matcha untuk sambutan tahun depan pada Mac.
Fenomena trend ini turut menjadikan warna tersebut dijangka popular di kalangan penggemar fesyen pada musim perayaan akan datang.
Gabungan hijau matcha dan merah jambu strawberi membuktikan trend ini bukan sahaja mudah digayakan, malah sesuai untuk gaya harian, majlis tradisional dan perayaan sambil terus menarik perhatian Gen Z yang gemar mengekspresikan kreativiti melalui warna.
Dengan penerimaan yang semakin meluas, tidak mustahil strawberry matcha akan kekal relevan dalam dunia fesyen, menjadi pilihan popular bagi mereka yang ingin tampil segar, moden dan berani mencuba kombinasi warna baru. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
