MEMILIH kasut kahwin bukan sahaja soal fesyen, tetapi juga melibatkan keselesaan, praktikaliti dan bagaimana ia mencerminkan personaliti pengantin.
Ramai bakal pengantin menghadapi dilema, terutamanya apabila memilih kasut tempahan khas atau bespoke kerana perlu mengambil kira pelbagai rekaan, warna dan hiasan manik sehingga kadang-kala sukar membuat keputusan yang tepat.
Tambahan pula, stigma lama yang mengatakan kasut kahwin hanya dipakai sekali menjadikan ramai pengantin ragu-ragu untuk memilih ketinggian sesuai atau bereksperimen dengan warna dan rekaan.

Ain Nabila Khairul Anwar.
Jenama kasut tempatan, Raka yang diasaskan oleh dua beradik dari Terengganu, Ain Nabila Khairul Anwar dan Ain Najwa Khairul Anwar menawarkan koleksi kasut yang bergaya, selesa dan praktikal terutama untuk bakal pengantin.
Sejak awal, fokus utama jenama berkenaan adalah koleksi sedia pakai (RTW) dengan konsep mix & match yang membolehkan pelanggan menyesuaikan elemen tertentu mengikut citarasa masing-masing.
Selain itu, Raka turut menawarkan pilihan bespoke bagi memenuhi permintaan tertentu.
Menurut Ain Nabila yang gemar disapa Nabila, tempahan RTW mix & match biasanya disiapkan dalam tempoh tidak lebih dua bulan, manakala pilihan bespoke mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk disiapkan.
Berdasarkan pengalaman Nabila, berikut tujuh tip utama untuk membantu bakal pengantin membuat pilihan kasut custom dengan lebih yakin dan praktikal:
1. Kenal pasti karakter diri sebelum pilih rekaan
Sebelum membuat pilihan, penting untuk memahami karakter diri sendiri.
"Pilih rekaan yang sesuai dengan diri sendiri. Apa yang anda suka, boleh digabungkan dengan personaliti anda," jelas Nabila kepada Majoriti.
Dengan mengenali gaya peribadi, bakal pengantin dapat memilih elemen seperti rama-rama atau manik yang sesuai dengan identiti mereka dan tidak semata-mata mengikut trend semasa.
2. Maksimum tiga warna manik untuk elak rekaan nampak 'heavy'
Tidak dinafikan, ramai bakal pengantin mudah rambang mata apabila melihat pelbagai pilihan manik dan warna.
Nabila menasihatkan agar jumlah warna manik tidak melebihi tiga.
"Biasanya kami nasihatkan maksimum tiga warna manik sahaja. Masa memilih memang cantik, tapi bila digabungkan semua boleh nampak terlalu sarat," kata graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Modal Insan dari Management Science & University (MSU) itu.
Had itu katanya membantu kasut kelihatan seimbang dan elegan serta lebih mudah dipadankan dengan busana lain selepas majlis.
3. Ketinggian tumit 3 inci ke bawah lebih praktikal
Ketinggian tumit turut memainkan peranan penting dalam keselesaan.
Katanya, ramai bakal pengantin memilih tumit setinggi empat sehingga lima inci.
Pemilihan kasut yang tidak mengambil kira keselesaan dan praktikaliti menyebabkan wujud stigma bahawa kasut kahwin hanya dipakai sekali.
"Sejak dulu kami ingin buang stigma yang mengatakan kasut kahwin hanya dipakai sekali.
"Kami lihat ramai pengantin yang pakai tumit terlalu tinggi, akhirnya kasut hanya digunakan sekali sahaja," jelasnya.
Kongsinya, tumit tidak lebih tiga inci lebih praktikal kerana membolehkan kasut dipakai sepanjang majlis dan juga untuk acara lain selepas perkahwinan.
4. Kasut kahwin tidak semestinya putih
Dari segi warna pula, ia tidak perlu terhad kepada putih.
Pengantin kini lebih gemar bereksperimen dengan pelbagai warna mengikut personaliti dan tema majlis.
"Dalam tempahan khas, anda boleh pilih warna yang disukai. Kasut kahwin tak semestinya putih. Nak hot pink pun boleh atau kasut warna burgundy dipadankan dengan baju putih juga sesuai.
"Ini masa untuk anda bereksperimen dan letakkan sedikit karakter diri pada kasut supaya ia kelihatan unik dan lebih menonjol," jelas Nabila.
5. Fikirkan kegunaan selepas majlis
Sebelum membuat tempahan, penting untuk fikirkan berapa kali kasut akan dipakai.
"Kalau ingin dipakai lebih dari sekali, pilih warna yang boleh diguna lagi. Kalau untuk nikah sahaja, mungkin fokus pada kasut putih sahaja," katanya.
Tambahnya, membeli kasut lebih awal sekurang-kurangnya enam bulan sebelum majlis memberi masa untuk penyesuaian rekaan atau tambahan seperti hiasan manik, sekali gus mengelakkan masalah saiz atau pilihan rekaan yang terhad.
6. Kasut sebagai ruang ekspresi diri
Kasut boleh menjadi cara untuk pengantin mengekspresikan personaliti mereka.
"Ramai pengantin suka mengekspresikan diri mereka. Itulah karakter mereka yang sebenar,” kata Nabila.
Elemen seperti manik dan rama-rama 3D membolehkan kasut menyerlahkan karakter pengantin.
7. Jangan harapkan hasil sama dengan inspo
Tip paling penting, menurut Nabila ialah pengantin tidak seharusnya mengharapkan kasut siap sama dengan 'inspo' (inspirasi) yang diberikan.
"Produk akhir tidak akan sama 100 peratus dengan inspo yang anda beri.
"Material, saiz manik dan teknik pembuatan semuanya beri impak pada hasil akhir.
"Jadi anda perlu bersedia menerima perbezaan 20 hingga 30 peratus daripada idea asal," jelasnya.
Mengakhiri temu bual, Nabila sempat berkongsi tip penjagaan asas untuk memastikan kasut tahan lebih lama.
Menurutnya, kasut yang kotor boleh dibersihkan dengan air paip, disimpan di tempat bersih dan diperiksa secara berkala.
Material PU dan satin biasanya boleh bertahan sehingga tiga tahun dengan penjagaan yang betul. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
