FESYEN mengikuti 'undang-undang fizik' sama seperti dunia semula jadi. Apa yang naik pasti akan turun.
Perkara itu juga berlaku pada panjang skirt, saiz pakaian, malah kasut sneakers pun tidak terkecuali.
Sneakers pernah menjadi sangat besar dan keterlaluan, terutamanya selepas kemunculan Balenciaga Triple S pada 2017.
BACA LAGI: [VIDEO] Elak kahwin lelaki '2 alam', perkahwinan 'lavender' risiko kena HIV, penyakit kelamin

Kasut Balenciaga Triple S pernah menjadi kegilaan fesyen. — Media sosial
Kasut gergasi itu tiba-tiba menjadi kegilaan, seolah-olah tiada lagi yang boleh melebihi popularitinya.
Bahkan, pada Mac lalu, agensi melaporkan, era kasut sneakers gergasi sudah berakhir dan trend retro sedang kembali.
Trend itu menampilkan kasut slim-line yang diperkenalkan pada pertengahan abad lalu kini dihasilkan semula dan digemari oleh generasi baharu.
Sebenarnya, kitaran trend sneakers retro bermula sekurang-kurangnya lima tahun lepas apabila pereka terkenal yang kini pereka fesyen lelaki Hermes, Grace Wales Bonner cuba menghidupkan semula rekaan Samba pertama kali diperkenalkan pada 1949.
Industri fesyen teruja, kasut itu cepat habis dijual dan Adidas sedar ia berpotensi menjadi 'produk hit'.
Sebelum sempat trend itu reda, Adidas melancarkan kasut dalam pelbagai warna edisi terhad kerana perkataan 'terhad' memang cepat membuat orang berbelanja.
Kegilaan Samba mungkin mencapai kemuncaknya pada 2022 apabila carian untuk kasut berkenaan meningkat 350 peratus, menurut platform beli-belah Lyst, sehingga bekas Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak dilihat memakai Samba di Downing Street yang secara tiba-tiba menjejaskan suasana hype itu.
Namun, kejayaan Samba membuka pintu untuk jenama lain meneliti arkib mereka sendiri dan menghasilkan semula model ikonik seperti Nike Cortez (diperkenalkan pada 1972), Nike Zoom Vomero 5 (2010), Puma Speedcat (1999), dan Onitsuka Tiger Mexico 66 (1966).

Sneakers retro sesuai dipadankan baik dengan seluar mahupun skirt. — Instagram/@saramuzam, @ainul.najihahh
Jenama seperti Larroude pula memperkenalkan versi retro mereka sendiri seperti Stella, kasut slim-line yang diperbuat daripada suede dan velvet.
Bertanyakan kepada pengasas bersama syarikat itu, Marina Larroude mengenai sebab beliau memilih gaya klasik, katanya beliau mahukan kasut yang kelihatan rapi seperti loafer, tetapi selesa seperti sneakers.
Beliau mahu wanita mudah memadankan kasut itu dengan seluar jeans, seluar potongan tailor, skirt pendek atau blazer tanpa kelihatan seperti kasut sukan atau menjadi mangsa fesyen seperti trend kasut gergasi sebelum ini.
Kebangkitan kasut retro juga berkait rapat dengan kembalinya seluar longgar dan skirt panjang yang sesuai digabungkan dengan kasut slim.
Seluar besar dan kasut besar biasanya kelihatan berat dan tidak kemas, manakala jeans ketat dengan sneakers ketat pula boleh membuat kaki kelihatan seperti pin boling.
Keseimbangan antara kasut dan pakaian adalah kunci seperti dalam semua aspek fesyen.
Adakah trend retro sneakers ini akan bertahan? Marina berkata Stella diperkenalkan Januari lalu dan sejak itu habis dijual setiap bulan.
Kini, beliau menganggap Stella sebagai elemen asas dalam koleksi seperti ankle boots atau platform bertali di pergelangan kaki.
Walaupun retro mungkin tidak lagi berada di puncak populariti, ia boleh menjadi seperti jeans straight-leg dalam dunia sneakers, iaitu pilihan yang sentiasa relevan, tidak kira trend semasa. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
