'Baca soalan betul-betul, semak jawapan', anak 'balas balik' beri pesanan sebelum mak, ayah jawab 'exam' bahasa Arab


  • Bonda
  • Ahad, 23 Nov 2025

Tangkap layar memaparkan bapa lelaki tersebut sedang bersiap-sedia menghadiri peperiksaan sambil menerima pesanan daripada anaknya. — Instagram/@mhd_ikhwn

MENJELANG musim peperiksaan, frasa seperti 'baca soalan betul-betul', 'jangan cuai' dan 'semak semula jawapan sebelum hantar' sering menjadi pesanan wajib daripada ibu bapa kepada anak-anak.

Namun dalam satu video tular, situasi itu berlaku sebaliknya apabila anak pula memberi pesanan sama kepada ibu bapanya sebelum mereka menduduki peperiksaan.

Seorang lelaki berkongsi video di Instagram memaparkan ibu dan bapanya bersiap-sedia untuk keluar menghadiri peperiksaan Bahasa Arab di sebuah masjid.

BACA LAGI: 'Ramai gagal peringkat asas', production planner kongsi 5 tip wajib tahu sebelum mula jenama fesyen baharu

BACA LAGI: Kombo warna ‘strawberry matcha’ kini diterjemah jadi inspirasi fesyen, dekorasi

Sebelum mereka melangkah keluar, lelaki itu sempat memberi 'nasihat balas' kepada bapanya supaya membaca soalan dengan teliti dan menyemak jawapan sebelum menghantar kertas peperiksaan.

"Jawab semua soalan, semak jawapan, jangan lupa selawat," katanya sambil ketawa.

Sementara itu di ruangan kapsyen hantaran, beliau berkata, beliau berkata bahawa dahulu ketika mereka menduduki peperiksaan, ibu bapanya yang sering memberi pesanan sedemikian, namun kini tiba giliran beliau pula menasihati mereka.

"Dulu semasa kami ada peperiksaan, mereka yang pesan macam tu. Sekarang giliran kami," katanya berseloroh.

Di ruangan komen pula, rata-rata pengguna media sosial bergurau dengan mengulang semula dialog klasik ibu bapa kepada anak

"Kenapa dapat markah 95 saja? Pak cik sebelah rumah tu dapat 100 tau," komen @eshandelahanabolismail.

"Pen pensil semua cukup tak? Pemadam pastikan ada. Periksa semula beg sekolah," tulis @rosruslan.

"Kenapa dapat tempat kedua? Kenapa tak dapat tempat pertama?," seloroh @adam._faisal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram