"HARI ini… anak-anak kesayangannya tidak pedulikan beliau dan dia datang cari aku."
Demikian luahan seorang pengguna Threads, @karl.isaax yang berkongsi kisah masa kecilnya yang dibesarkan dalam suasana pilih kasih sehingga menjejaskan hubungan beliau dengan bapanya.
Menurut Karl, beliau menerima panggilan daripada bapanya baru-baru ini namun berasa berat untuk menjawab kerana pengalaman lalu masih meninggalkan kesan emosi.
BACA LAGI: Rindu yang tidak pernah padam, Ibu Hanim kongsi cara bangkit selepas pemergian suami
BACA LAGI: Membesar dikelilingi hutan dan ladang, Katerina Shukshina ilhamkan fesyen alam penuh magis
"Isteri aku cakap, 'Awak tak boleh layan macam ni. Kita ada anak. Nanti anak buat benda sama pada awak.'
"Aku tahu niat dia baik, tapi sukar nak jelaskan zaman kanak-kanak yang aku hadapi seorang diri," tulisnya.
Karl menambah, jika suatu hari anak-anaknya menjauh, ia bukan kerana tindakannya hari ini, tetapi hanya akan berlaku jika beliau mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan bapanya dahulu.
Dalam hantarannya, Karl berkata, beliau dibesarkan dalam keluarga yang menunjukkan kasih sayang secara tidak sama rata.
"Ayah tak marah sebab aku nakal. Ayah marah sebab aku tidak menjadi seperti anak-anak lain yang dibanggakannya.
"Ada satu ayat yang aku ingat sampai hari ini… ‘Anak aku hanya…’ kemudian dia sebut semua nama, kecuali aku," ceritanya
Bercerita lanjut, kata Karl, beliau merupakan anak yang paling senyap dan tidak melawan menyebabkan dirinya paling mudah diketepikan.
Karl turut mendedahkan pengalaman tidak diberi keperluan asas seperti adik-beradik lain.
Beliau pernah memakai kasut sekolah berlubang yang ditampal dengan pita dan berdoa supaya hari tidak hujan kerana tapaknya bocor.
"Aku pernah minta kasut baharu. Jawapannya cuma, ‘Tak ada duit.’ Yang peliknya, hanya aku yang lalui perkara itu. Bukan yang lain," ujarnya menambah, beliau juga pernah tidak mampu membeli buku latihan sehingga menjadi bahan gelak rakan sekelas.
Lebih memilukan, Karl mengakui, ketika zaman kanak-kanaknya, beliau hanya berharap untuk cepat dewasa supaya dapat keluar daripada suasana yang membuatnya berasa tidak dianggap sebagai anak.
"Hari ini orang nampak aku okey. Ya, aku berjaya bertahan. Tapi itu tidak bermaksud tiada parut'"ujarnya.
Kata beliau, setiap kali bapanya menghubungi, beliau mengambil masa sebelum menjawab kerana ingin melindungi dirinya daripada kesan luka lama, bukannya untuk membalas dendam.
Kini katanya, fokus beliau adalah untuk menjadi bapa yang lebih baik.
"Aku mungkin bukan anak yang baik dalam cerita orang lain, tetapi aku sedang cuba jadi ayah yang lebih baik dalam cerita aku sendiri," katanya sambil menegaskan, jaraknya bukan untuk menghukum sesiapa, tetapi untuk memastikan anak-anaknya tidak mengalami perkara yang sama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
