DUNIA fesyen sentiasa penuh dengan kisah kreatif, inspirasi dan tidak kurang juga kontroversi.
Bagi mereka yang mahu mendalami tentang industri fesyen, dokumentari fesyen adalah cara terbaik untuk melihat perjalanan ikon fesyen dan jenama ternama.
Berikut adalah 10 dokumentari wajib penggemar fesyen tonton:
BACA LAGI: Pasangan Asia-Eropah tergamam, hospital Brazil rujuk bayi ikut warna kulit, bukan nama
BACA LAGI: Gen Z mendefinisikan semula fesyen ‘modest’, buktikan gaya sopan pun boleh ‘stand out’
1. Dior and I (2014)
Dokumentari ini memaparkan Raf Simons menyiapkan koleksi haute couture pertamanya untuk Dior dalam masa lapan minggu.
Produksi berkenaan mendedahkan tekanan luar biasa, kehalusan kerja tangan dan detik cemas menjelang pertunjukan.
Setiap gaun indah ternyata hasil ratusan jam kerja teliti serta keberanian mencipta.
2. Bill Cunningham New York (2010)
Bill Cunningham New York menampilkan jurufoto legenda Bill Cunningham yang merakam trend fesyen di jalanan New York, London, serta majlis sosial berprestij untuk ruangan mingguannya, On the Street dan Evening Hours.
Sebagai jurufoto utama New York Times selama beberapa dekad, Bill terkenal dengan dedikasi dan minatnya terhadap fesyen.
Dokumentari ini turut menampilkan temu bual bersama rakan dan dan individu yang dirakamnya, termasuk Tom Wolfe, David Rockefeller dan bekas editor majalah Vogue, Anna Wintour.
Cunningham juga dikenali kerana sikapnya yang adil terhadap semua orang, melihat setiap individu sebagai inspirasi fesyen tanpa mengira status sosial.
3. Martin Margiela: In His Own Words (2019)
Martin Margiela: In His Own Words memberikan pandangan eksklusif tentang pereka yang dianggap unik, Martin Margiela melalui suaranya sendiri, lakaran dan barang peribadi.
Dokumentari ini menelusuri kerjayanya dari pembantu pereka fesyen, Jean Paul Gaultier hingga memimpin jenama ikoniknya sendiri sambal mengekalkan identity misteri.
Fokus filem ini adalah tangannya menjadi alat Utama ciptaan fesyen dengan komen daripada rakan sekerja rapatnya, memberikan pandangan mendalam tentang minda kreatif seorang ikon fesyen.
4. McQueen (2018)
Diarahkan oleh Ian Bonhote dan Peter Ettedgui, dokumentari ini menelusuri minda genius dan emosi pereka Alexander McQueen.
Filem ini mendedahkan bagaimana pengalaman peribadi yang penuh derita dan semangat luar biasa Alexander diterjemahkan menjadi pertunjukan fesyen yang menggegarkan industri.
Melalui karya-karyanya, Alexander menunjukkan bahawa kehebatan dalam fesyen sering lahir daripada pengalaman paling mendalam dan jujur dalam hidup seorang pereka.
5. Lagergeld Confidential (2007)
Lagergeld Confidential menampilkan pereka fesyen terkenal, Karl Lagerfeld, seorang tokoh yang terkenal dengan sifat peribadinya.
Dalam dokumentari ini, Lagerfeld menceritakan tentang zaman kanak-kanaknya yang penuh cabaran di Jerman dan bagaimana beliau menyedari orientasi seksualnya pada usia 13 sebelum berpindah ke Paris untuk memulakan kerjaya fesyen.
Filem ini turut menampilkan pandangannya mengenai fesyen, kesusasteraan dan kehidupan sambil mengikuti pergerakannya dari rumah ke pertunjukan fesyen dan sesi fotografi, disertai pengikut dan peminat, termasuk pelakon, Nicole Kidman.
6. Diana Vreeland: The Eye Has To Travel (2011)
Diarahkan oleh Lisa Immordino Vreeland, dokumentari ini menelusuri kehidupan Diana Vreeland, editor legenda Harper’s Bazaar dan Vogue.
Filem ini menampilkan gaya kreatifnya yang berani dan visi yang membentuk dunia fesyen moden, termasuk cara beliau mengubah trend dan budaya visual.
Selain kerjaya, dokumentari ini turut memperlihatkan sisi peribadinya, hubungan keluarga dan dedikasinya terhadap inovasi dalam industri.
7. Wonder Boy (2019)
Wonder Boy mengikuti Olivier Rousteing, Pengarah Kreatif Balmain, sejak awal karier hingga menjadi pereka muda terkenal.
Dokumentari ini menampilkan cabaran dan tekanan dalam industri fesyen serta pencarian identiti diri selepas dibesarkan sebagai anak angkat.
Filem ini memperlihatkan sisi peribadi Rousteing yang jarang diketahui, di sebalik glamor dan kejayaannya.
8. Valentino: The Last Emperor (2008)
Dokumentari ini memaparkan kehidupan dan kerjaya pereka Itali Valentino Garavani yang terkenal dengan rekaan mewah dan elegan.
Filem ini menekankan hubungan rapatnya dengan Giancarlo Giammetti serta persediaannya menghadapi persaraan.
Ia turut menunjukkan proses teliti di sebalik gaun haute couture yang menjadi signatur Valentino dan menjadikannya legenda dalam dunia fesyen.
9. Dries (2017)
Dries memberikan pandangan mendalam tentang pereka Belgium Dries Van Noten yang terkenal dengan rekaan berlapis, tekstur unik dan warna menarik.
Dokumentari ini mengikuti proses kreatifnya dari idea awal hingga pertunjukan fesyen, sambil menekankan disiplin dan ketekunan pereka ini.
Filem ini menekankan falsafah Dries yang lebih mengutamakan kebebasan kreatif berbanding publisiti.
10. Westwood: Punk, Icon, Activist (2018)
Dokumentari ini mengikuti perjalanan Vivienne Westwood yang bermula sebagai pereka berpengaruh dalam dunia punk British sebelum berkembang menjadi aktivis alam sekitar yang lantang memperjuangkan isu perubahan iklim dan kelestarian.
Filem ini menelusuri kerjayanya melalui arkib, temu bual dan peristiwa penting yang membentuk identitinya dalam industri fesyen.
Ia memberi gambaran bagaimana fesyen, pemberontakan dan aktivisme saling berkaitan dalam karya Westwood.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
