SELEPAS melalui liku-liku dalam menyempurnakan tugasan, sekali gus menggalas tanggungjawab mewakili negara, gelaran Miss Universe 2025 kini menjadi milik Fatima Bosch peserta dari Mexico.
Edisi 2025 pertandingan ratu cantik antarabangsa itu menyaksikan penyertaan 120 peserta dari seluruh dunia, namun Fatima berjaya dimahkotakan gelaran tersebut.
Acara yang berlangsung di Thailand termasuk pertandingan awal, persembahan pakaian tradisional negara masing-masing serta dua pusingan soal jawab untuk lima peserta teratas memperlihatkan personaliti dan usaha advokasi setiap peserta.
BACA LAGI: Membesar dikelilingi hutan dan ladang, Katerina Shukshina ilhamkan fesyen alam penuh magis
BACA LAGI: Rindu yang tidak pernah padam, Ibu Hanim kongsi cara bangkit selepas pemergian suami
Berikut lima perkara menarik mengenai Fatima:
1. Pernah tolak sertai Miss Universe Mexico
Fatima berasal dari Teapa, Tabasco, Mexico. Terdahulu, wanita berusia 25 tahun itu pernah ditawar menyertai Miss Universe Mexico 2019, tetapi menolak peluang itu demi menumpukan perhatian pada pelajaran.
2. Pelajar bidang reka fesyen
Dari segi akademik, Fatima mempunyai latar belakang dalam fesyen.
Beliau menuntut dalam bidang Pakaian dan Reka Fesyen di Universidad Iberoamericana.
Selain itu, beliau juga pernah mengikuti program di luar negara, termasuk di Nuova Accademia di Belle Arti (NABA) di Milan, Itali dan Lyndon Institute di Vermont, Amerika Syarikat (AS).
3. ADHD dan disleksia
Fatima melalui zaman kanak-kanak yang sukar kerana menjadi mangsa buli di sekolah.
Beliau mendedahkan, dirinya menghidap ADHD dan disleksia yang memerlukan perhatian khas untuk belajar.
Namun, Fatima berjaya menjadikan cabaran itu sebagai kekuatan, membentuk karakter dirinya dan membuatkan beliau lebih berani bersuara.
4. Lantang bersuara
Dalam aktiviti prapertandingan Miss Universe 2025, Fatima menjadi perhatian media selepas berdepan situasi tegang dengan pengarah Miss Universe Thailand, Nawat Itsaragrisil.
Beliau berpegang pada pendiriannya, menegaskan hak untuk bersuara dan menuntut penghormatan yang sewajarnya.
5. Advokasi empati, perlindungan alam dan komuniti
Fatima menggunakan platformnya untuk misi kemanusiaan dan alam sekitar, menyokong inisiatif yang membantu komuniti migran serta melindungi ekosistem semula jadi.
Matlamatnya adalah untuk menanamkan harapan, memelihara kehidupan dalam semua bentuk dan menggunakan empati sebagai asas untuk mencipta perubahan bermakna. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
