TRAGEDI hitam yang meragut kaki kanannya empat tahun lalu tidak memadamkan semangat juang seorang pelajar, Nur Nabilah Mohd Azahar.
Dalam satu hantaran di Facebook, Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, graduan itu sudah membuktikan kekuatan luar biasa apabila berjaya menamatkan pengajian di peringkat Sarjana Pelancongan dengan pencapaian cemerlang, CGPA 3.55.
Kisah Nabilah atau lebih dikenali sebagai Bella pernah tular suatu ketika dahulu apabila kaki kanannya terputus akibat terkena kipas bot ketika menjalani latihan menyelam di Dive Division Curacao, Caribbean.
Insiden itu bukan sahaja merubah hidupnya, tetapi turut menguji kekuatan mental dan emosinya sebagai pelajar.
“Sepanjang 10 bulan saya dirawat di wad, saya mengalami kemurungan memikirkan masa depan kerana ketika itu saya baru sahaja menjalani latihan industri di peringkat sarjana muda,” katanya.
Namun, UUM berkata, daripada episod duka itu, Bella bangkit dengan tekad baharu.

Nur Nabilah bangkit dan membuktikan bahawa kekurangan bukan alasan untuk berputus asa. — UUM
Sokongan padu daripada ibu bapa, pensyarah serta rakan-rakan menjadi tiang kekuatan yang membantunya meneruskan kehidupan sebagai pelajar Orang Kurang Upaya (OKU).
“Dari situlah saya berazam untuk bangkit dan membuktikan bahawa kekurangan bukan alasan untuk berputus asa. Alhamdulillah, saya berjaya menamatkan pengajian dengan keputusan yang membanggakan,” ujar Bella.
Sepanjang pengajian, Bella masih menerima rawatan susulan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).
Hidup sendirian di Inapan Siswa Maybank tanpa keluarga di sisi sememangnya mencabar, namun segala urusan dipermudahkan dengan bantuan pihak universiti dan rakan-rakan kuliah yang sentiasa menghulurkan pertolongan.
Beliau turut menzahirkan rasa syukur atas sokongan berterusan daripada keluarga, universiti dan rakan-rakan yang menjadi sumber kekuatan untuknya pulih daripada kemurungan serta terus melangkah ke hadapan.
Lebih membanggakan, selepas pulih, Bella kembali menyelam iaitu aktiviti yang hampir meragut nyawanya suatu ketika dahulu.
Keberaniannya itu menarik perhatian media tempatan apabila beliau pernah muncul dalam program Majalah 3 dan turut membintangi sebuah filem sebagai pelakon sokongan.
Kini, Bella berhasrat untuk mencari pekerjaan yang sesuai dengan keupayaannya sebagai OKU dan mahu menjadi inspirasi kepada mereka yang senasib agar terus kuat menghadapi kehidupan tanpa rasa kesal.
Anak muda berjiwa kental itu menerima ijazah sarjananya yang disampaikan oleh Pro-Canselor UUM, Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tunku Mahkota Kedah, pada sesi ketiga Majlis Konvokesyen Ke-38 UUM yang berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah petang Ahad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
