PERSOALAN yang dilontarkan oleh seorang pengguna media sosial, Syahira Saadon di Threads mengenai keburukan memiliki unit strata telah mengundang pelbagai reaksi jujur daripada pemilik rumah.
Syahira bertanyakan sama ada wujud penyesalan membeli rumah strata, terutama mengenai kekangan seperti larangan mengadakan kenduri atau kesukaran menerima barang penghantaran.
Pemilik-pemilik rumah tampil berkongsi pengalaman mereka mengenai kebaikan dan keburukan gaya hidup itu.
Sebahagian besar pemilik unit strata mengakui mereka tidak menyesal dengan keputusan tersebut, malah menegaskan ketenangan dan ketertiban adalah faktor utama yang membuatkan mereka memilih untuk tinggal di sana sehingga usia tua.
Seorang pemilik, Joxxannna, yang sudah mendiami unitnya selama hampir tiga tahun, menyifatkan pembelian itu sebagai antara keputusan terbaik yang pernah dibuat.
"Kawasan di sini aman, tiada kenderaan diletakkan di merata-rata tempat, kutipan sampah mengikut jadual, dan kerja penyelenggaraan rumput dilakukan dengan baik. Kami pernah mengadakan rumah terbuka dan ia sangat mudah kerana kami boleh mendaftarkan pelawat kami sendiri," katanya.
Beliau menambah, urusan penghantaran juga menjadi mudah kerana pengawal keselamatan akan menelefon terlebih dahulu, membolehkan penghuni menerima atau menolak kemasukan.
Sarimah Samad-Imran, yang baru berpindah Mac lalu, pula mengakui persekitaran perumahan strata sangat sesuai untuk mereka yang mementingkan keseragaman dan ketelitian.
"Berbanding dengan rumah dahulu yang berpagar dan berpengawal, di sini tiada jiran yang membuat pengubahsuaian secara melampau seperti mengubah rumah dua tingkat menjadi dua setengah tingkat atau mengecat dengan pelbagai warna yang berbeza.
"Ini tidak termasuk lagi yang membina pagar batu yang tinggi secara tiba-tiba, manakala rumah orang lain hanya pagar rendah. Jiwa lebih tenang," tegasnya.
Isu tempat letak kenderaan dan pengubahsuaian rumah sering menjadi masalah utama bagi rumah hakmilik individu yang sudah matang.
Mohd Redzuan Moslim, yang baru berpindah ke unit strata Januari lalu selepas enam tahun tinggal di rumah hakmilik individu, bersetuju bahawa strata mengajar komuniti menjadi lebih berdisiplin dan bertoleransi.
"Selepas kawasan lama kami matang, isu pengubahsuaian dan tempat letak kenderaan mula menjadi masalah utama. Anak-anak jiran apabila sudah dewasa akan memiliki kenderaan sendiri dan hadapan rumah kami akan menjadi tapak meletak kenderaan bagi mereka.
"Akhirnya kami mengalah dan berpindah. Di sini, urusan rumah terbuka juga tiada masalah. Hanya ada had masa sehingga jam 11 malam dan pengawal keselamatan akan membantu mengawal tempat letak kenderaan agar trafik tidak terganggu," jelasnya.
Pemilik lain, CBB Premium Baby Food, turut berkongsi ketenangan yang sama.
"Tiada pengubahsuaian yang tidak masuk akal, tiada rumah sukan warna-warni, tiada jiran yang membuat bengkel atau memasak untuk menjual. Kenduri boleh diadakan seperti biasa, hanya perlu mematuhi undang-undang kecil yang ada," kongsinya.
Mengenai keburukan memiliki unit strata, tiada penyesalan besar oleh majoriti pemilik.
Joxxannna menyatakan satu-satunya keburukan yang dirasakan adalah menyesal kerana memilih unit yang lebih kecil.
Namun begitu, dengan yuran penyelenggaraan hanya RM180, ia disifatkan berbaloi kerana kawasan sangat bersih dan terjaga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
