SEBUAH perkongsian di Threads mengenai perasaan seorang anak melihat bapanya semakin dimamah usia menyentuh hati warga maya.
Pengguna dikenali sebagai Wany Zee meluahkan rasa sebak apabila peranannya kini bertukar apabila perlu menguruskan hal ehwal bapa beliau di pejabat awam.
Ia merupakan suatu tanggungjawab pernah dilakukan oleh bapa kepadanya puluhan tahun dahulu.
BACA LAGI: 'Anda tak pernah tua pegang tangan ibu', pempengaruh ingatkan hargai masa bersama ibu bapa
Menerusi hantaran tersebut, Wany Zee menceritakan perbandingan pengalaman ketika beliau masih kecil dan kini.
"Jika dahulu, pengalaman pertama ke pejabat kerajaan adalah ketika berusia 12 tahun bagi membuat kad pengenalan bersama ayah.
"Kini, pada usia 31 tahun, saya pula yang membawa ayah berusia 62 tahun untuk berurusan di pejabat kerajaan," luahnya.
Saat paling menyentuh hati Wany Zee apabila bapanya sendiri meluahkan rasa bergantung kepada anak.
Bapanya sempat berkata, "Kalau ayah seorang diri ini, memang tidak tahu hendak buat apa."
Wany Zee, yang tidak menyangka perkongsiannya mendapat sambutan meluas, menyeru agar semua pihak sentiasa mendoakan ibu bapa dipanjangkan umur, kekal sihat dan kuat.
"Sama-sama kita doakan ibu bapa kita semua dipanjangkan umur, sentiasa sihat, masih kuat untuk kita berpeluang berbakti kepada mereka.
"Al-Fatihah untuk ibu ayah yang telah pergi menghadap Pencipta, semoga mereka ditempatkan di dalam syurga ALLAH," tambahnya.
Sambutan terhadap luahan itu menunjukkan ramai yang turut berkongsi perasaan dan pengalaman sama dalam melihat ibu bapa semakin dimamah usia.
"Sungguh menyedihkan melihat ibu bapa kita semakin berusia," kata seorang pengguna, Aqilah Othman.
Seorang lagi pengguna, Asma Husnaa, turut memberi pandangan bahawa ibu bapa adalah pendidik terbaik dalam hidup.
"Tanpa mereka sedari, mereka telah mengajar kami banyak perkara dan kemahiran kelangsungan hidup.
"Mereka adalah guru pertama kami dalam segala hal. Kami tidak mungkin berjaya sehingga ke hari ini tanpa bimbingan dan kesabaran mereka," komennya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
