"SEJAK kecil, saya sudah menyaksikan perbuatan intim ibu bapa dengan mata kepala sendiri. Kadang-kadang terdengar dan kadang-kadang terlihat, secara keseluruhannya lebih daripada 10 kali."
Demikian luahan hati seorang remaja perempuan yang tular di media sosial baru-baru ini, mendedahkan penderitaan emosi dialaminya akibat kecuaian ibu bapa dalam menjaga privasi hubungan suami isteri.
Menerusi perkongsian di Threads, remaja yang kini sedang membuat persiapan bagi menghadapi peperiksaan umum peringkat menengah (IGCSE) itu mengakui kejadian tersebut memberi kesan mendalam sehingga beliau memerlukan sokongan kaunseling.
BACA LAGI: 'Anda tak pernah tua pegang tangan ibu', pempengaruh ingatkan hargai masa bersama ibu bapa
Menurut remaja tersebut, ketika zaman kanak-kanak, beliau tidak memandang serius perkara itu, namun situasi berubah apabila meningkat remaja dan mula memahami keadaan sebenar.
Keadaan menjadi lebih parah pada tahun ini yang disifatkannya sebagai titik tolak perubahan hidupnya apabila sekali lagi terdengar bunyi dan melihat bapanya keluar dari bilik dalam keadaan mengaibkan di kediaman mereka.
"Saya tidak dapat jelaskan perasaan saya ketika itu kerana saya sangat terkejut, tergamam dan bercampur baur. Tiba-tiba semua memori lama yang saya lalui dulu kembali menerjah ingatan.
"Saya menangis semahu-mahunya malam itu dan dada terasa sangat sesak. Sejak hari itu, saya tidak lagi memandang ibu bapa saya dengan pandangan yang sama, terutamanya bapa saya," luahnya.

Trauma yang dialami sejak kecil itu menyebabkan remaja tersebut sering menggunakan 'headphone' bagi mengelak bunyi yang tidak diingini. — Gambar hiasan/AI
Remaja itu turut mendedahkan bahawa bapanya, yang bekerja sebagai pengarah di sebuah syarikat pembinaan, jarang berada di rumah.
Namun, apabila bapanya pulang, beliau berasa tertekan dan sering mengurung diri di dalam bilik.
Situasi menjadi lebih keruh apabila remaja itu mendakwa terjumpa beberapa tangkap layar dan video tidak senonoh di dalam peranti tablet milik adiknya yang berkongsi akaun storan awan dengan ibu.
"Sudah tujuh bulan berlalu dan hidup saya tidak tenang. Memang kelakar bagi sesetengah orang apabila trauma dengan aktiviti kelamin ibu bapa sendiri, tetapi tidak bagi saya.
"Saya sudah anggap bapa seperti orang asing. Bapa lelaki yang baik, bertanggungjawab dan penyedia nafkah keluarga yang bagus, namun trauma ini menghantui saya," luahnya.
Tambahnya, beliau pernah menyuarakan perkara itu kepada ibunya sebanyak dua kali, namun kecewa apabila luahan tersebut seolah-olah dipandang remeh walaupun mula menutup pintu bilik selepas ditegur.
"Saya cuba tidur awal, pakai fon telinga pada waktu malam untuk elak bunyi-bunyi itu kerana saya bersumpah saya boleh mendengarnya. Kadang-kadang mereka tidak tutup pintu pun, sedangkan adik saya ada di dalam bilik itu.
"Sebagai kakak, saya tidak mahu adik saya rasa dan tengok apa yang saya lalui," jelasnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya meluahkan rasa simpati dan menyarankan agar remaja terbabit segera mendapatkan bantuan profesional.
Seorang pengguna media sosial, Rueban Pillay menasihatkan remaja itu supaya merujuk kepada pakar terapi keluarga atau kaunselor.
"Anda harus segera menghubungi pakar terapi keluarga atau kaunselor. Beberapa sesi kaunseling pasti akan membantu. Sebagai permulaan, bercakaplah dengan orang dewasa dalam keluarga yang dipercayai atau guru rapat di sekolah," tulisnya.
Sementara itu, pengguna bernama Hellojuwita menekankan aspek agama dalam menjaga maruah keluarga.
"Islam sangat melindungi maruah, psikologi dan perkembangan emosi kanak-kanak. Itulah sebabnya hubungan intim suami isteri mesti dilakukan secara tertutup, tanpa pengetahuan anak.
"Tolong dapatkan bantuan psikiatri profesional, terutamanya memandangkan anda berasa sesak dada selepas menyaksikan kejadian itu," komennya.
Seorang lagi pengguna, Szaerra, menyifatkan perkongsian itu sebagai pengajaran berguna buat ibu bapa lain.
"Saya sebagai ibu bapa akan mengambil perhatian tentang perkara ini dan tidak akan membiarkan anak saya mengalami perkara yang sama," katanya.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
