Isteri lelaki jatuh Jambatan Pulau Pinang mohon orang ramai jaga tutur kata, kini hamil anak ke-3


  • Cinta
  • Selasa, 18 Nov 2025

Nurul Natasha Amyra Ishak meluahkan kesedihan mendalam berkait pemergian suaminya.

HASRAT seorang isteri untuk mempertahankan maruah dan perasaan suaminya yang sudah tiada meruntun hati apabila merayu agar orang ramai berhenti membuat andaian kejam mengenai tragedi menimpa pasangannya.

Menerusi satu hantaran di TikTok, Nurul Natasha Amyra Ishak meluahkan kesedihan mendalam selepas suaminya, 25, ditemukan meninggal dunia dua hari selepas dilaporkan terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang, Pulau Pinang.

Ibu kepada dua anak itu memohon agar warga maya menjaga tutur kata, lebih-lebih lagi ketika beliau masih bergelut mengawal emosi.

“Mohon jangan komen yang bukan-bukan tentang suami saya. Saya masih lagi bersedih.

"Kalau tiada benda nak taip, lebih baik diam dan jangan buat andaian sendiri. Daripada bercakap buruk, lebih baik mendoakan untuk orang lain,” katanya.

BACA LAGI: 'Jangan cepat emosi, elak menyesal kemudian hari', kahwin kontrak selepas talak 3 dianggap tak sah, dilaknat Tuhan — Peguam Syarie

BACA LAGI: Bekas suami maki dan fitnah di media sosial? Ini tindakan undang-undang boleh diambil yang ramai wanita tidak tahu

Wanita yang kini hamil anak ketiga itu berkata, kata-kata kesat dilemparkan di media sosial hanya menambah luka yang sedia terbuka.

“Saya tak dapat nak membalas kata-kata yang menyakitkan di luar sana. Tuhan saja yang boleh membalas kepada orang yang berkata buruk kepada saya dan suami.

"Pada yang mendoakan kami, terima kasih. Pada mengata, biarlah Tuhan membalasnya," katanya.

Amyra mengakui, beliau sendiri tidak mengetahui konflik atau tekanan mungkin ditanggung suaminya sehingga sanggup bertindak sedemikian.

“Kita tak duduk tempat dia, kita tak tahu apa yang dia tengah rasa. Sebagai isteri, hidup sebantal dan sebumbung pun saya tak tahu apa dia rasa. Tolong jaga hati, perasaan dan mental saya,” luahnya .

Untuk rekod, operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan pelbagai agensi akhirnya menemukan mayat mangsa pada pukul 9.35 pagi di Jeti Pelayaran, Pangkalan Weld, Pulau Pinang kira-kira lapan kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Pulau Pinang, John Sagun Francis dalam satu kenyataan mengesahkan penemuan itu.

“Mayat mangsa berusia 25 tahun dibawa ke Jeti Jabatan Laut, Batu Uban dan kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram