Kecil-kecil cili padi, Raihan raih untung lepas cipta dakwat guna sisa kulit bawang putih


  • Bonda
  • Jumaat, 21 Nov 2025

Inovasi Raihan menukarkan 3.12 tan kulit bawang putih menjadi dakwat mesra alam.

DI tangan Raihan Jouzu Syamsudin, kulit bawang putih bukan lagi menjadi sisa organik yang hanya mampu diproses menjadi baja organik.

Pelajar Sekolah Menengah Pertama Negeri (SMPN) 57 Surabaya, Indonesia itu menghasilkan inovasi menarik dengan mencipta dakwat daripada bahan buangan tersebut.

Idea menghasilkan dakwat itu tercetus daripada keprihatinan Raihan terhadap lambakan sisa kulit bawang putih yang kebiasaannya hanya dicampur dan diproses menjadi baja bersama sisa organik lain.

BACA LAGI: Pemilik rumah luah kebaikan, keburukan kehidupan unit strata

BACA LAGI: Ikon baharu Las Vegas, Sphere rasmi 'Orbi' emotikan hidup bernilai RM10 bilion

"Saya rasa sayang jika kulit bawang putih dicampur dengan sisa organik yang lain," kata Raihan.

Sebelum memulakan proses penghasilan dakwat, Raihan terlebih dahulu giat mencari bahan mentah.

Ketika menyertai acara Penganugerahan Putera dan Puteri Alam Sekitar 2024, beliau telah meninjau beberapa pasar di Surabaya untuk mencari sumber bekalan kulit bawang putih.

Sepanjang empat bulan pertama menjalankan projek, Raihan pernah berputus asa kerana hasil kutipan kulit bawang putih hanya mencapai sekitar 300 kilogram.

Sedangkan, dengan berat kulit bawang putih yang amat ringan, beliau perlu bekerja lebih keras bagi mencapai sasaran minimum 1,000 kilogram untuk melayakkan diri ke peringkat akhir.

Setiap hari, selepas pulang dari sekolah, Raihan Jouzu mencari kulit bawang putih. Agensi

Namun, beliau berjaya menjumpai banyak kawasan yang menghasilkan sisa kulit bawang putih.

"Alhamdulillah, dengan semangat tidak mudah menyerah, akhirnya saya menemui pasar dan perkampungan lain yang banyak menghasilkan kulit bawang putih.

"Sehingga kini, saya sudah mempunyai 25 rakan kerjasama, termasuklah perkampungan. Daripada rakan kerjasama inilah saya mendapat bekalan terbesar. Setakat ini, saya telah memproses 3.12 tan kulit bawang putih," tambahnya.

Dengan 25 rakan kerjasama yang membekalkan kulit bawang putih, Raihan perlu bijak membahagikan masa untuk mengunjungi mereka setiap hari.

"Ada kulit bawang putih yang sudah sedia di dalam bekas, tinggal diambil. Ada juga yang saya perlu pungut dan kumpul sendiri di dalam bekas," jelasnya.

Hujan bukan penghalang buat Raihan untuk tidak menziarahi 25 rakan kerjasamanya itu.

"Meskipun keadaan hujan, saya tetap perlu mengunjungi rakan-rakan pembekal kulit bawang putih itu setiap hari. Penyelesaiannya adalah dengan menggunakan baju hujan," katanya.

Raihan Jouzu mengasingkan kulit bawang putih yang lembap menjadi eko enzim khas kulit bawang putih. Agensi

Untuk memproses kulit bawang putih menjadi dakwat, Raihan menggunakan proses khas.

"Ada proses yang mana kulit bawang putih perlu diolah untuk menghasilkan pigmen pewarna hitam semula jadi bagi dakwat penanda," jelasnya.

Raihan menjelaskan bahawa tidak semua kulit bawang putih yang dikumpul boleh diproses menjadi dakwat penanda.

"Kulit bawang putih yang terlalu lama disimpan berpotensi menjadi lembap dan tidak boleh diproses menjadi dakwat penanda," kata Raihan.

Kulit bawang putih yang lembap atau rosak seperti itu, kebiasaannya diproses oleh Raihan menjadi eco enzyme.

Inovasi dakwat penanda daripada kulit bawang putih itu sudah laris terjual.

Meskipun begitu, Raihan merancang untuk terus menyempurnakan hasil produknya.

"Saya akan terus mempromosikan produk inovasi kulit bawang putih ini sehingga ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa," luahnya.

Pada masa hadapan, beliau juga bercita-cita untuk membangunkan produk baharu berupa serbuk toner untuk mesin fotokopi.

"Saya sangat mengharapkan bantuan daripada semua pihak untuk merealisasikan rancangan penghasilan dakwan mesin fotostat, termasuk sokongan daripada pihak makmal," harapnya.

Selain dakwat, Raihan juga berjaya mencipta 'eco enzyme' dan sabun cecair serba guna daripada kulit bawang putih.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk membangunkan pelbagai produk mesra alam yang lain pada masa hadapan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram