PENGGUNAAN teknologi kecerdasan buatan (AI) seperti ChatGPT semakin meluas dalam kalangan pelajar.
Ada melihatnya sebagai alat bantu pembelajaran praktikal manakala sesetengah pihak ia boleh menjejaskan integriti akademik jika disalahgunakan.
Sehubungan itu, Majoriti menemu bual beberapa pelajar daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor bagi mendapatkan pandangan mereka.
BACA LAGI: Rindu yang tidak pernah padam, Ibu Hanim kongsi cara bangkit selepas pemergian suami

Auni Nabilah Azlan.
Rata-rata daripada mereka bersetuju bahawa manfaat ChatGPT bergantung kepada cara ia digunakan.
Bagi pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, Auni Nabilah Azlan, keberkesanan penggunaan ChatGPT bergantung kepada cara pelajar itu sendiri memanfaatkannya.
"Bagi saya, penggunaan ChatGPT adalah seimbang. Ia bergantung pada cara orang itu menggunakannya.
"Ada kebaikan jika kita nak rujuk sebagai sumber, tetapi tidak baik jika digunakan tanpa ubah apa-apa," jelas gadis berusia 22 tahun itu.
Auni turut berkongsi pengalaman bekerja dengan rakan kumpulan yang terlalu bergantung kepada AI.
"Saya pernah ada groupmate yang hanya bergantung kepada ChatGPT. Apabila semak, memang jelastidak menapis apa-apa. Saya terpaksa buat balik bahagiannya," ujarnya.
Dari perspektif lain, pelajar Sarjana Muda Muamalat, Nurjeha Rosdi, 21, menekankan kepentingan menggunakan AI secara bijak dan bertanggungjawab.
"ChatGPT boleh digunakan, tetapi selepas mendapat info, kita kena pandai olah ayat semula.
"Tidak boleh ambil terus dari ChatGPT," katanya yang menggunakan teknologi itu jika ada keperluan.
Seiring itu, rakannya Nur Zulaikha Qistina Rozaki, 21, menambah, penggunaan ChatGPT memudahkan pelajar mencari maklumat dan menambah pengetahuan, tetapi bergantung pada niat dan disiplin pelajar.
"Kalau digunakan dengan betul, ia membantu pelajar menyiapkan kerja dengan lebih efektif," jelasnya.
Bagi penuntut Sarjana Muda Sains Komputer, Ana Batrisyia Asaruddin, manfaat ChatGPT lebih ketara jika pelajar bertanggungjawab dalam menggunakannya.
"Kalau guna dengan elok, pelajar boleh cari point penting dan kemudian kembangkan dalam kerja.
Tapi ada yang salah guna, terus copy paste. Kena bijak untuk gunakan teknologi ini," katanya yang berusia 21 tahun.
Ana turut menegaskan bahawa penggunaan AI untuk membina imej profesional di media sosial tidak semestinya mencerminkan kredibiliti sebenar.
"Kalau orang guna AI untuk tunjukkan diri profesional, bagi saya itu tidak profesional. Ia tidak menunjukkan diri sebenar mereka," tambahnya.
Sahabatnya, Marsya Imanina Abdul ‘Azim, 21, pula menekankan bahawa impak ChatGPT bergantung kepada niat dan sikap pelajar.
"Ada yang baik, ada yang tak baik. Contohnya, ada rakan yang terlalu sibuk sehingga hanya guna AI untuk jawapan. Mereka tak parafrasa ayat sendiri, jadi ia boleh menjejaskan markah kumpulan," ujarnya.
ChatGPT boleh menjadi alat bantu yang berguna jika digunakan secara bijak dan bertanggungjawab.
Namun, pelajar perlu menyedari risiko salah guna serta mengekalkan etika dan integriti akademik supaya teknologi ini tidak menjadi punca masalah, sebaliknya menjadi sokongan kepada pembelajaran mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
