'Makan, minum tak pernah culas', suami kecewa isteri pertikai tindakannya hulur duit poket dekat ibu bapa


  • Cinta
  • Rabu, 19 Nov 2025

Gara-gara RM50 diberi kepada ibu bapa, seorang suami meluahkan rasa sedih apabila isterinya tidak reda meskipun nafkahnya tidak pernah diabaikan. — Gambar hiasan/AI

GARA-GARA wang saku berjumlah RM50 yang diberikan kepada ibu bapanya, seorang suami berdepan kemelut rumah tangga apabila isterinya tidak reda dan mempersoalkan tindakan itu.

Luahan sayu seorang lelaki itu tular di media sosial, sekali gus mengundang pelbagai reaksi orang ramai yang rata-rata tidak bersetuju dengan sikap isteri tersebut.

Lelaki itu meluahkan rasa buntu dan sedih, mendedahkan dia kini sudah empat hari tidak bertegur sapa dengan isteri angkara hal yang disifatkannya sebagai 'kecil' itu.

BACA LAGI: Aon Somrutai popular dengan ungkapan 'Thank You Kateyki' selamat lahir bayi perempuan

BACA LAGI: [VIDEO] Halaman bak padang golf, rahsia penjagaan rumput sebenar bersama pakar

Berkongsi kisahnya, lelaki itu berkata, sejak mendirikan rumah tangga dia tidak pernah memberikan wang belanja kepada ibu bapanya kerana gaji sebelum ini sekadar cukup untuk menampung perbelanjaan isteri dan anak-anaknya.

"Al kisahnya lepas berkahwin dah tak pernah bagi duit belanja dekat mak ayah sebab duit belanja cukup makan anak isteri," luahnya.

Namun, rezeki berpihak kepadanya apabila dia mendapat kenaikan gaji tahun ini.

Kenaikan gaji itu membolehkannya memiliki lebihan wang dan buat pertama kalinya dia tergerak hati untuk memberikan 'duit poket' kepada kedua ibu bapanya semula.

"Dalam tahun ini dapat kenaikan gaji, jadi ada lebih buat belanja makan anak isteri. Jadi dalam tahun ini juga baru merasa nak bagi mak ayah duit poket, itupun RM50 seorang sahaja," ujarnya.

Siapa sangka, pemberian kecil itu mengundang konflik besar apabila isterinya mula meluahkan ketidakpuasan hati.

"Isteri cakap dia tak reda aku buat macam itu sebab dia tak dapat duit belanja macam itu," katanya yang jelas terguris dengan kenyataan tersebut.

Lebih menyedihkan, isteri beliau turut mengeluarkan kata-kata yang seolah-olah mengetepikan peranan ibu bapa dalam keberkatan rezeki.

"Dia siap cakap kalau nak berkat dari doa dia pun dah cukup, tak perlu dari mak ayah. Aku sampai tak tahu nak cakap apa sedangkan makan minum dia aku tak pernah culas," tambahnya.

Lelaki itu sempat menegaskan bahawa sepanjang perkahwinan, segala urusan dan bil rumah tangga dari A hingga Z, termasuk kereta dan motor ditanggung sepenuhnya oleh dirinya.

"Setiap minggu pun aku ada juga bagi duit poket belanja dan bawa makan luar. Tapi disebabkan aku bagi duit belanja dekat mak ayah aku RM50, dia sampai cakap tak reda, aku terasa hati sungguh," katanya dengan nada kecewa.

Beliau turut menyuarakan rasa sedih, bimbang luahan seorang suami tidak dipedulikan.

"Aku sedih tapi lelaki bercerita ada yang kisah ke?" katanya.

Perkongsian lelaki itu mendapat perhatian meluas di media sosial.

Di ruangan komen, rata-rata orang ramai menunjukkan sokongan kepada si suami dan menyifatkan tindakan isteri tersebut sebagai tidak patut.

Malah ada yang mempersoalkan pemahaman isteri itu mengenai agama dan ilmu rumah tangga.

Pengguna media sosial berpendapat bahawa nafkah isteri adalah wajib, namun berbakti kepada ibu bapa adalah keutamaan selepas isteri dan anak-anak, apatah lagi jika ibu bapa memerlukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram