Tingkatkan ilmu, belajar cintai diri agar rumah tangga dibina terus harmoni, bahagia — Dr. Muhaya


  • Cinta
  • Khamis, 13 Nov 2025

Kata-kata Datuk Prof. Dr. Muhaya Mohamad itu bukan sekadar menjadi inspirasi, malah membakar semangat para peserta yang menghadiri program Kau Wanita Hebat.

"KALAU kita nak ubah negara, ubah manusia dahulu.” 

Kata-kata Datuk Prof. Dr. Muhaya Mohamad itu bukan sekadar menjadi inspirasi, malah membakar semangat para peserta yang menghadiri program Kau Wanita Hebat.

Ia merupakan satu ruang pembelajaran rohani dan emosi mengajak para wanita mengenal semula diri sendiri. 

Program diterajui oleh Dr. Muhaya bersama Datuk Dr. Faridah Hanim Haron (mesra disapa Ibu Hanim) itu juga menggali tentang keyakinan diri dan kejayaan luaran. 

BACA LAGI: Bayi lahir tanpa otak rai ulang tahun ke-20, doktor pernah jangka hayat hanya 4 tahun

BACA LAGI: Tiga tahun dipenjara, ditinggal isteri, kini bekas polis genggam Ijazah Sarjana selepas mahkamah dapati tidak bersalah

Program Kau Wanita Hebat membawa wanita menelusuri perjalanan mengenal diri sendiri.

Pada masa sama tentang perjalanan dalam mencari makna sebenar menjadi wanita kuat, tenang dan berjiwa ummati.

Program Kau Wanita Hebat membawa wanita menelusuri satu perjalanan yang jarang diberi ruang dalam kehidupan seharian iaitu perjalanan mengenal diri sendiri, mencintai diri dan akhirnya menyalurkan kebaikan itu kepada keluarga serta masyarakat.

Dalam sesi bersama Dr. Muhaya, peserta diajar reset minda dan rekod jiwa dengan membuang segala 'program' lama yang membataskan potensi diri sejak kecil.

Kemudian, menggantikannya dengan cara berfikir yang positif, terbuka, dan penuh kasih.

“Ramai tidak sedar, emosi dan pemikiran kita terbentuk sejak kecil. Kalau program itu salah, kita bawa ia sampai dewasa.

"Di sinilah pentingnya self-love. Apabila belajar sayangi diri, barulah kita boleh sayang orang lain tanpa syarat,” kata Dr Muhaya kepada Majoriti.

Di tengah perjalanan membina diri, Dr. Muhaya menekankan bahawa wanita yang menyayangi diri sendiri juga mampu menjadi pemangkin perubahan dalam rumah tangga.

Katanya, seorang wanita yang tenang, bersyukur dan memahami nilai diri akan mampu melahirkan keluarga harmonis.

“Bila seorang wanita bangun pagi dengan syukur, mendidik anak dengan kasih, menjaga solat dan mencari rezeki yang halal, dia bukan sahaja membentuk dirinya tetapi juga tujuh keturunan di sekelilingnya,” katanya. 

Peserta tidak sekadar belajar teori. Mereka melalui pengalaman praktikal iaitu belajar mengenal emosi, membuang rasa bersalah yang tidak perlu dan menanam pemikiran baharu yang lebih positif.

Ramai wanita mengambil kekuatan jiwa dengan menyertai Program Kau Wanita Hebat.

Pastinya, tidak semua orang mampu melihat ceramahnya dari sudut positif. 

Bertanya soal cara menghadapi kritikan, Dr. Muhaya turut menekankan kekuatan jiwa sebagai kunci utama.

Baginya, teguran atau kutukan bukan sesuatu yang menyakitkan jika kita mengenal diri sendiri.

“Kalau orang marah atau tidak suka apa yang saya kata, itu kerana mereka belum kenal diri sendiri. Ilmu saya bukan untuk ubah orang lain, tapi ubah diri sendiri. Ilmu perbaiki diri, bukan perbaiki orang lain. Bila kita ambil tanggungjawab, kita tak mudah terkesan dengan kata-kata negatif,” jelasnya.

Pastinya Dr Muhaya tidak asing soal percintaan memandangkan dirinya banyak memberi nasihat dalam rumah tangga sama ada melalui ceramah atau di media sosial. 

Bertanya soal kisah rumah tangga yang yang meninggalkan kesan mendalam dalam dirinya, Dr Muahya menceritakan  tentang pasangan muda yang kelihatan sempurna di luar iaitu cantik, bijak, berjaya tetapi rumah tangga mereka tidak bahagia. 

Meskipun berbagai bimbingan dibuat, rumah tangga mereka akhirnya tidak bertahan lama. 

Dr. Muhaya berasakan bahawa, individu sebegitu kebiasaannya tidak diajar untuk mencintai diri sendiri sejak kecil dan membawa luka emosi itu ke dalam hubungan.

“Safe love bermula dengan diri sendiri. Kalau kita tak kenal diri, tak tahu tujuan hidup, bagaimana nak cinta dengan betul? Bila cinta bermula kerana ALLAH, insya-ALLAH ia tahan lama,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram