DRAMA Miss Universe 2025 semakin panas walaupun pertandingan rasmi belum berlangsung iaitu bakal bermula pada Jumaat ini di Thailand.
Kontroversi terkini melibatkan seorang juri yang menarik diri selepas mendakwa pemilihan top 30 finalis dibuat sebelum sebarang penjurian rasmi dijalankan.
Salah seorang ahli panel juri, Musisi Omar Harfouch mendedahkan beliau menarik diri pada 17 November selepas mengetahui finalis top 30 dipilih oleh panel tidak rasmi tanpa kehadiran ahli jawatankuasa asal termasuk dirinya.
BACA LAGI: Tingkatkan ilmu, belajar cintai diri agar rumah tangga dibina terus harmoni, bahagia — Dr. Muhaya
Menurut Omar, panel improvisasi itu berpotensi mempunyai konflik kepentingan, termasuk hubungan peribadi dengan beberapa peserta, serta individu yang mengurus undian.
Omar turut memuat naik video berdurasi 11 minit di Instagram, yang menyatakan beliau tidak sanggup mengesahkan keputusan yang beliau tidak terlibat.
“Sesetengah negara yang tersingkir melalui proses ini mungkin menghadapi konflik atau menghadapi isu geopolitik sensitif. Penonton akan menganggap panel membuat keputusan dan saya tidak mahu memikul tanggungjawab untuk proses yang saya tidak sertai," katanya.
Sebagai respons, Miss Universe menafikan dakwaan tersebut.
Dalam kenyataan rasmi, organisasi itu menegaskan tiada panel improvisasi diwujudkan, tiada kumpulan luar diberi kuasa memilih finalis dan semua penilaian dijalankan mengikut protokol rasmi MUO yang telus dan diawasi.
Kontroversi ini menambah lagi isu dalam pra-pertandingan Miss Universe 2025, selepas insiden panas pada 3 November lalu apabila Miss México bertikam lidah dengan Presiden Miss Grand International, Nawat Itsaragrisil, yang kemudian digugurkan daripada pengurusan pertandingan.
Dengan pelbagai drama yang berlaku sebelum tirai dibuka, peminat kini menanti dengan debaran untuk melihat bagaimana pertandingan sebenar akan berlangsung. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
