Suami mohon bantuan sunting gambar bersama arwah isteri, jadi kenangan manis untuk anak yang baru setahun kehilangan ibu


  • Cinta
  • Rabu, 12 Nov 2025

Gambar yang disunting warga maya itu kini menjadi kenangan berharga buat Alif dan anaknya.

CINTA sejati tidak berakhir walaupun jasad telah berpisah. 

Begitulah kasih yang masih kekal dalam hati seorang lelaki, Alif Tsi terhadap arwah isterinya yang meninggal dunia akibat kanser beberapa tahun lalu.

Baru-baru ini, Alif menarik perhatian ramai apabila memuat naik dua keping gambar di laman Facebook iaitu satu gambar dirinya bersama anak lelaki dan satu lagi gambar isterinya sambil memohon bantuan orang ramai untuk menyunting kedua-duanya menjadi satu foto keluarga yang lengkap.

“Isteri dah meninggal waktu anak umur setahun… nak buat kenangan untuk tunjuk dekat anak. Jasa baik anda amat dihargai,” tulisnya.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Berlarilah dengan senyuman', sakit kanser tahap 4 tidak halang Cikgu E sertai maraton, syukur miliki anak isteri penguat semangat

BACA LAGI: Dari bilik darjah ke dunia bisnes, bekas guru sekolah di Ipoh kembangkan bakat bina perniagaan kamera dan gajet

Permintaan sederhana itu menyentuh hati ribuan pengguna media sosial yang sebak membaca kisah di sebalik permintaan itu.

Menurut Alif, isterinya meninggal dunia selepas bertarung dengan penyakit kanser. 

Ketika disahkan mengandung, doktor menasihati agar kandungan digugurkan supaya rawatan kimoterapi dapat dijalankan. 

Alif meminta orang ramai membantunya untuk menyunting kedua-duanya menjadi satu foto keluarga yang lengkap.

Namun, arwah memilih jalan penuh pengorbanan iaitu meneruskan kehamilan meskipun tahu nyawanya sendiri menjadi taruhan.

“Arwah memilih untuk teruskan kandungan,” kata Alif.

Detik kehilangan itu pula datang dalam keadaan yang cukup meruntun jiwa. Isterinya meninggal dunia di rumah ketika Alif sedang bekerja, meninggalkan anak kecil mereka yang baru berusia setahun di sisi tanpa tangisan.

“Enam jam anak umur setahun duduk dengan arwah yang sudah meninggal… saya buka pintu, anak tengah menyusu badan arwah,” luahnya.

Hantaran itu dibanjiri doa dan kata-kata semangat daripada warga maya. 

Kisah Alif dan pengorbanan isterinya menarik perhatian ramai warga maya yang membaca hantaran itu. 

Ramai yang menitipkan doa dan kata-kata semangat, menzahirkan rasa sebak dan kagum terhadap pengorbanan seorang isteri dan ibu.

Habibah Zakaria berkongsi rasa kagum terhadap pengorbanan arwah dan mendoakan kesejahteraan anak mereka, menekankan betapa hebatnya pengorbanan seorang ibu yang sanggup meletakkan nyawa demi anak.

"Semoga arwah ditempatkan bersama orang beriman, dicucuri rahmat ALLAH ke atas arwah inshaAllah aamiin. 

"Kepada anak yang ditinggalkan, semoga menjadi anak yang soleh. 

"Hebat pengorbanan seorang ibu dan seorang isteri, menderita diuji mengidap kanser tetapi sanggup berkorban meninggalkan zuriat untuk menjadi teman si suami dan hadiah yang sangat istimewa. Semoga dicucuri rahmat ALLAH untuk seisi keluarga insya-ALLAH amin," katanya. 

Nmy pula berasakan betapa besarnya pengorbanan seorang ibu yang meninggalkan dunia demi anak dan keluarga.

“Allahuakbar, besar pengorbanan arwah. Semoga arwah ditempatkan bersama orang solehah dan anak menjadi anak yang soleh," katanya.

Mohamad Azwan berkongsi perasaan sebaknya selepas membaca kisah Alif.

“Allahu…menitik air mata aku bang baca kisah hang dekat komen tu, besarnya pengorbanan isteri hang bang. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan para syuhadah dan dipermudahkan urusan di sana. Al-Fatihah," katanya.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram