DEMI mendapatkan sesuatu yang diidamkan kadang-kala menuntut seseorang sanggup berjimat atau berkorban sedikit keselesaan.
Daripada membeli baju raya, produk kecantikan hingga menghadiri acara eksklusif, beberapa mahasiswi daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) berkongsi pengalaman 'ikat' perut demi merealisasikan keinginan.
Walaupun terasa sukar, kegembiraan tetap dirasai apabila hasrat itu tercapai.
BACA LAGI: Kecewa bayi sorok muka? 3 tip ibu hamil perlu buat sebelum jalani ultrasound 5D

Nurzarifah (kiri) dan Nur Hanani masing-masing tidak kisah berjimat demi mendapatkan barangan dan pengalaman yang diinginkan. — Nurzarifah, Nur Hanani
Nur Ain Qistina Saifulbahri, 21, berkata, setiap kali menjelang raya, beliau kebiasaannya akan berjimat-cermat supaya dapat membeli baju dan produk mekap yang diinginkan.
Setiap kali raya, saya mesti akan ikat perut untuk beli baju raya dan mekap sebab saya nak tampil berbeza," kata pelajar Kejuruteraan Sistem Maklumat itu ketika ditemui Majoriti pada majlis pelancaran single terbaharu Nabila Razali di UiTM Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.
Ketika ditanya mana yang lebih penting, baju raya atau produk solekan, beliau berkata, kedua-dua item itu penting baginya.
"Dua-dua penting. Tapi selalunya mekap saya tengok apa yang kurang, baru saya tambah.
"Kalau lebih, saya akan laburkan duit pada baju raya sebab baju raya pun pakai sekali sahaja," katanya.
Turut senada, pelajar Kejuruteraan Mekanikal, Nurzarifah Athirah Zamanhuri berusia 22 tahun, pengalaman ikat perut berlaku setiap kali menjelang raya atau majlis istimewa seperti konvokesyen.
"Masa nak raya, saya makan biasa-biasa je dalam RM5 sehari supaya dapat beli busana dari jenama popular," ujarnya menambah, beliau membelanjakan kira-kira RM500 bagi memiliki baju dan kasut dari label popular untuk raya tahun lalu.
Sementara itu, pelajar Kejuruteraan Mekanikal, Nur Hanani Nabila Jusram menceritakan pengalamannya menyimpan wang untuk menghadiri satu acara jualan baju dan item fesyen terpakai yang mengumpulkan ramai artis dan pempengaruh media sosial terkenal.
Untuk merealisasikan rancangan itu, mereka terpaksa berjimat sepanjang sebulan dan membuka satu tabung khusus menerusi bank akaun mereka.
"Saya dan kawan pernah rancang buat tabung dalam bank sampai RM500 untuk pergi program tu je.
"Selama sebulan kami ikat perut, kadang-kadang makan nasi sekali sehari dengan lauk biasa-biasa je," cerita gadis berusia 22 tahun itu sambil ketawa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
