[VIDEO] Halaman bak padang golf, rahsia penjagaan rumput sebenar bersama pakar


  • Hias
  • Selasa, 18 Nov 2025

Mohd Adib berpendapat rumput sebenar menawarkan kemewahan estetik, kesejukan, dan oksigen yang tidak mungkin dapat ditandingi oleh rumput tiruan.

MEMILIKI halaman rumah yang subur, hijau dan sejuk mata memandang merupakan impian ramai pemilik kediaman.

Namun, ramai yang tewas di tengah jalan disebabkan serangan kulat, ulat ataupun kesukaran menguruskan rumpai liar.

Persoalan ini sering mendorong pemilik rumah memilih jalan pintas iaitu beralih kepada penggunaan rumput tiruan yang dianggap mudah dan bebas penyelenggaraan.

BACA LAGI: Aon Somrutai popular dengan ungkapan 'Thank You Kateyki' selamat lahir bayi perempuan

BACA LAGI: Walau belum pernah miliki kenderaan sendiri, lelaki hadiahkan isteri kereta lepas 2 bulan hilang kerja

Tetapi benarkah rumput tiruan mampu menandingi nilai estetik dan manfaat kesihatan yang ditawarkan oleh rumput hidup?

Majoriti menemubual pakar pemulihan laman bagi segmen Estetika, Mohd Adib Anuar, 38, yang merupakan pemilik syarikat Aiman Lawncare yang telah 10 tahun beroperasi dalam bidang tersebut.

Menurut Mohd Adib, penubuhan Aiman Lawncare adalah untuk membantu pemilik laman memulihkan rumput sedia ada, tanpa perlu menukar rumput baharu.

"Falsafah utama kami adalah kami percaya bahawa setiap rumput masih boleh dipulihkan dan dicantikkan tanpa perlu menanam rumput baharu," katanya kepada Majoriti.

Beliau menjelaskan, majoriti pelanggan Aiman Lawncare adalah pemilik laman rumah yang berdepan masalah seperti serangan ulat, rumpai atau rumput yang sudah pudar kehijauannya.

Mohd Adib turut mengakui kesedaran terhadap kepentingan halaman rumah yang cantik semakin meningkat, namun cabaran terbesar dihadapi pelanggan adalah masa dan wang ringgit kerana ia memerlukan dedikasi berterusan.

Mohd Adib (kanan) bersama adiknya, Aiman Anuar (kiri) yang juga pegasas bersama Aiman Lawncare.

Bagi pemilik rumah baharu, Mohd Adib menegaskan bahawa asas penjagaan rumput yang paling penting sudah tentu adalah memotong rumput secara berkala.

Namun, beliau turut berkongsi tiga langkah asas lain yang kritikal untuk memastikan rumput kekal hijau, sihat dan bebas rumpai iaitu menyiram, membaja dan merumpai.

Mengenai jenis rumput popular di Malaysia seperti Cow Grass, Philippine Grass dan Japanese Grass, beliau menerangkan perbezaan antara Cow Grass yang mempunyai daun lebih lebar berbanding Philippine Grass dengan daun yang halus.

Bagi Japanese Grass pula ia mempunyai daun yang lebih halus berbanding Philippine Grass.

Dari segi kesesuaian, beliau menasihatkan Cow Grass sesuai untuk halaman rumah yang redup dengan cahaya matahari kurang dari enam jam, manakala Philippine Grass dan Japanese Grass sesuai untuk kawasan yang mendapat cahaya matahari lebih dari enam jam.

Manakala dari segi penjagaan, secara umumnya hampir sama, cuma Cow Grass memerlukan air yang lebih banyak di musim panas.

Beliau turut berkongsi bagaimana pemilik rumah boleh mengenal pasti masalah biasa seperti kulat atau serangan ulat dari segi visual.

"Jika terdapat tompokan bulat seakan-akan duit syiling 50 sen, itu adalah 'fungus dolar spot' dari spesies rizoktonia.

"Manakala bagi serangan ulat, rumput akan mula bertukar warna coklat dan ulat-ulat boleh dilihat pada waktu petang.

"Penyelesaian segera sebelum mendapatkan bantuan pakar adalah dengan mengurangkan sebarang jenis tekanan pada rumput seperti memotong atau bermain di laman.

"Selain itu, menghentikan siraman bagi masalah kulat, dan memberhentikan pembajaan bagi masalah ulat," jelasnya.

Mohd Adib turut mengesahkan bahawa memotong rumput lebih kerap sememangnya dapat membantu rumput tumbuh lebih baik dan cantik.

Dari segi ketinggian, beliau menasihatkan agar rumput dipotong hanya satu pertiga sahaja daripada ketinggian asal.

"Ketinggian yang lebih selamat untuk cuaca Malaysia adalah sekitar 1.3 hingga 1.5 inci.

"Tapi jika pemilik mahukan laman seperti 'green' di padang golf, maka ketinggian yang ideal adalah sekitar 3 milimeter (mm).

"Tetapi bersedialah untuk mengorbankan masa dan wang ringgit yang lebih banyak," nasihatnya.

Walaupun mengakui rumput tiruan mendapat sambutan kerana menawarkan penyelesaian kepada masalah masa dan kurangnya cahaya matahari, Mohd Adib berpendapat bahawa rumput sebenar yang dijaga rapi memberikan nilai estetik dan kemewahan yang jauh lebih tinggi.

Beliau menegaskan, rumput tiruan kategori rendah penyelenggaraan, namun kos penyelenggaraan dan penggantian dalam jangka hayat 10 tahun mungkin hampir sama atau sedikit murah berbanding kos penjagaan rumput sebenar yang memerlukan penjagaan berterusan.

Pakar penjagaan rumput itu turut menekankan bahawa memilih rumput tiruan akan menyebabkan kenyamanan pemilik rumah hilang kerana rumput tiruan sangat panas, yang mana bahangnya boleh dirasai hingga ke dalam rumah.

"Rumput sebenar membekalkan oksigen, menyejukkan persekitaran, dan bau rumput selepas dipotong dan selepas hujan tidak boleh didapati dengan rumput tiruan," jelas beliau.

Tambahnya lagi, rumput hidup menawarkan manfaat persekitaran dan kesihatan yang tidak mampu ditandingi.

Sebagai penutup, Mohd Adib memberi nasihat penting kepada pemilik rumah yang mendambakan halaman rumput idaman.

"Bersedialah dari segi mental, fizikal dan kewangan sebelum memilih untuk menanam rumput sebenar di halaman.

"Kedua, jangan putus asa, sebab kita menguruskan benda hidup yang sangat dipengaruhi cuaca dan persekitaran," katanya menutup bicara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram